SUKRIM KALI KE-4 ERATKAN LAGI IKATAN SILATURAHIM DAN KERJASAMA WARGA JABATAN BENDAHARI 18 UA
Penyertaan 747 atlet daripada 18 universiti awam Malaysia
USM PULAU PINANG, 11 September 2024 – Baru-baru ini Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Sukan Jabatan Bendahari Universiti Awam Malaysia 2024 Kali Ke-4 (SUKRIM).
Acara yang berlangsung selama dua hari pada 6 dan 7 September itu menyaksikan persaingan yang sengit dalam setiap perlawanan yang dipertandingkan dengan penyertaan seramai 747 atlet daripada 18 universiti awam Malaysia.
Bendahari USM, Rafizal Abd Rahim berkata, penyertaan pada edisi ini adalah pencapaian yang amat membanggakan dan menunjukkan sokongan serta minat yang diberikan oleh semua universiti terlibat terhadap program ini.
“Jumlah ini bukan sekadar angka, tetapi ia mencerminkan semangat kesukanan dan persaudaraan yang kuat di kalangan kita. Sukan adalah satu platform yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga mengukuhkan ikatan silaturahim dan kerjasama antara warga universiti,” katanya.
Rafizal dalam ucapannya ketika merasmikan SUKRIM Kali Ke-4 turut mengingatkan para peserta agar menunjukkan semangat ingin mencuba dan saling menghormati antara satu sama lain.
Turut hadir ke majlis perasmian ini ialah Bendahari dan wakil Bendahari universiti awam Malaysia.
USM berjaya merangkul 1 emas dalam acara bola jaring dan 3 gangsa, masing-masing dalam acara dart (wanita), pingpong perseorangan (wanita) dan badminton.
Selaku tuan rumah, Jabatan Bendahari USM menghantar kontinjen yang besar iaitu seramai 60 orang staf.
Antara acara yang dipertandingkan dalam SUKRIM Kali Ke-4 ini ialah: futsal; bola jaring; bola tampar; badminton; dart; karom; pingpong perseorangan; pingpong berpasangan; boling; dan boling VIP.
Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 208