USM TERPILIH PEMENANG KATEGORI ANUGERAH KHAS IPT DI ANUGERAH TENAGA KEBANGSAAN 2024 (NEA 2024)
USM PULAU PINANG, 12 September 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah terpilih sebagai pemenang Anugerah Khas bagi penyertaannya dalam Anugerah Tenaga Kebangsaan 2024 (National Energy Awards, NEA 2024) baru-baru ini.
Anugerah ini mengiktiraf segala usaha yang telah dilaksanakan oleh Universiti dalam kategori Anugerah Khas – Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkaitan kelestarian.
Penyertaan USM telah mengetengahkan usaha penggunaan tenaga ‘solar’ di kawasan kampus dengan mengutamakan amalan kelestarian.
Pasukan USM diwakili oleh:
- Mohd Salmi Ismail (ketua) – Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF);
- Suhaimi Abu Bakar - Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF);
- Mohd Sukri Shafie – Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS);
- Liyana Adhwa Khalid – Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM);
- Sharifah Nurlaili Farhana Syed Azhar – Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS).
Kemenangan dalam kategori IPT tersebut juga telah melayakkan penyertaan USM untuk dicalonkan dalam Anugerah Tenaga ASEAN.
Keputusan bagi kesemua penyertaan yang terlibat akan diumumkan sewaktu Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) yang akan dilangsungkan dari 24-27 September 2024 di Laos nanti.
Dalam satu kenyataan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YAB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang atas segala usaha yang telah dilakukan dalam bidang kelestarian tenaga.
“Saya gembira dengan kemajuan yang dicapai oleh pelbagai sektor dalam memajukan agenda peralihan tenaga negara kita. Komitmen terhadap pembangunan dan amalan tenaga lestari akan memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial masa depan Malaysia.
“Ini secara langsung juga dapat mengetengahkan Malaysia dalam mendahului bidang kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Sebanyak empat kategori telah dipertandingkan bagi pelbagai aspek pengurusan tenaga di sektor industri, bangunan dan perumahan, iaitu Pengurusan Tenaga (Kategori 1); Bangunan Cekap Tenaga (Kategori 2); Tenaga Boleh Diperbaharui (Kategori 3); dan Anugerah Khas.
Ini diikuti dengan 12 kategori kecil yang telah memilih pemenang dan tempat kedua.
Sebagai rekod, daripada 134 penyertaan yang diterima di NEA 2024, sejumlah 315.37 GWj tenaga dijimatkan setiap tahun, dengan lebih 283.71 GWj dijana setiap tahun daripada sumber boleh diperbaharui.
Untuk maklumat lanjut tentang pemenang NEA 2024, sila layari https www.nationalenergyawards.com.mythe-awardnea-2024-winners.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 258