USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAMBUTAN JUBLI EMAS PPSM USM: MENGUKIR LEGASI ILMU MATEMATIK

BATU FERRINGHI, PULAU PINANG, 14 September 2024 – Pusat Pengajian Sains Matematik (PPSM), Universiti Sains Malaysia (USM) meraikan sambutan ulang tahun ke-50 dengan majlis makan malam yang dihadiri oleh warga dan alumni PPSM di Shangri-La's Rasa Sayang di sini.

WhatsApp Image 2024 09 15 at 12.38.49

Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang menyampaikan ucapan penuh inspirasi tentang perjalanan gemilang selama lima dekad oleh pusat pengajian tersebut.

“USM bukan sahaja menghargai pengasas dan tenaga pengajar PPSM yang telah membina asas kukuh selama 50 tahun ini, tetapi juga meletakkan landasan bagi generasi akan datang untuk terus berinovasi dan menyumbang kepada pembangunan negara dalam bidang sains matematik."

Menurut Abdul Rahman lagi, bidang pengkhususan sains matematik amat diperlukan dan mendapat permintaan tinggi pada masa ini.

“Saya berharap kursus-kursus yang ditawarkan di pusat pengajian akan terus dikemas kini selaras dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) dalam sesi pembelajaran,” katanya.

WhatsApp Image 2024 09 15 at 12.38.51

Dekan PPSM, Profesor Dr. Hailiza Kamarulhaili, dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam kejayaan pusat pengajian itu sejak penubuhannya pada Mei 1974.

PHOTO 2024 09 15 12 04 14

Hailiza berkata, "Setiap kejayaan yang dicapai, sama ada dalam akademik, penyelidikan mahupun inovasi, adalah hasil komitmen dan kerjasama berpasukan yang sentiasa menjadi kunci utama kejayaan PPSM.”

“Oleh itu, Majlis Makan Malam ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada semua warga PPSM yang terdahulu mahupun yang kini.”

"Matlamat kita sentiasa jelas, iaitu untuk menjadi pusat kecemerlangan matematik yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa," ujar beliau.

Sempena sambutan ini, PPSM telah melancarkan buku mewah bertajuk “School of Mathematical Sciences: Golden Anniversary.”

WhatsApp Image 2024 09 15 at 12.38.50

Buku ini meraikan sejarah gemilang PPSM dengan menonjolkan pencapaian cemerlang serta peristiwa penting yang telah membentuk perjalanan pusat pengajian tersebut.

Selain itu, buku tersebut turut mengetengahkan sumbangan mereka dalam pembangunan akademik dan penyelidikan selama 50 tahun.

WhatsApp Image 2024 09 15 at 12.38.50 1

PPSM telah ditubuhkan pada tahun 1974 dengan kekuatan awal seramai 11 ahli fakulti.

Sebagai respons kepada pertambahan bilangan pelajar, pusat tersebut dipisahkan daripada Sains Komputer dan dinamakan semula sebagai Pusat Pengajian Sains Matematik pada tahun 1995.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran mantan-mantan dekan dan ahli-ahli akademik yang pernah menerajui PPSM, termasuk Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said yang juga merupakan ahli Lembaga Gabenor USM kini; Profesor Emeritus Dato’ Dr. Tan Wang Seng; Profesor Dato’ Indera Dr. Rosihan Mohamed Ali; Dr. Ahmad Izani Ismail; dan Dr. Ahmad Majid.

WhatsApp Image 2024 09 15 at 12.38.49 1

WhatsApp Image 2024 09 15 at 12.38.49 2

Kehadiran mantan dekan bukan sahaja mengimbau kembali detik-detik bersejarah serta sumbangan besar mereka kepada pembangunan pusat pengajian, tetapi juga turut menjadikan majlis tersebut sebagai medium untuk merangka langkah bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 309

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024