YES! ROCK THE SCHOOL MEGA PENANG 2024: MENCORAK GENERASI STEM MASA HADAPAN PULAU PINANG
NIBONG TEBAL, 9 September 2024 – Selepas kejayaan yang diraih di Kedah, Pahang, dan Johor, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) kini meluaskan jangkauannya ke Pulau Pinang melalui satu inisiatif program pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) iaitu YES! Rock the School Mega Penang 2024.
Program ini merupakan usaha sama antara TalentCorp dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta Kementerian Pendidikan dan turut melibatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Hadir merasmikan program, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak telah menekankan penggandaan usaha untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang STEM dilihat sebagai langkah penting untuk memastikan industri terus maju.
Menurut TYT Tun, program ini bertujuan untuk menarik minat pelajar terhadap bidang STEM melalui pelbagai aktiviti interaktif dan inisiatif pembelajaran yang inovatif.
“Dengan memfokuskan perhatian pada aplikasi dunia sebenar dalam pembelajaran, pelajar akan dapat mengaitkan teori dengan praktikal, sekaligus mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi cabaran yang akan datang,” kata beliau.
Menurut beliau lagi, penglibatan diri secara aktif dalam menyahut cabaran yang ada juga penting, melalui penyertaan dalam projek inovatif, latihan praktikal, serta pengalaman lapangan, pelajar akan mampu mengasah kemahiran mereka dan menyumbang kepada kemajuan generasi akan datang.
Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia KESUMA, Steven Sim Chee Keong dalam ucapannya menyatakan bahawa inisiatif ini akan mempersiapkan anak-anak muda dengan kemahiran yang relevan dan praktikal untuk memastikan mereka melangkah dengan yakin ke dalam dunia pekerjaan.
Menurut beliau, isu guna tenaga tidak penuh atau underemployment telah meningkat sejak pandemik dan kini telah menjadi cabaran utama dalam pasaran tenaga kerja.
“Oleh yang demikian, program ini adalah contoh cemerlang bagaimana kerjasama antara agensi kerajaan, badan pemikir strategik, dan sektor pendidikan boleh menghasilkan impak yang positif,” kata beliau.
“Dengan adanya inisiatif seperti YES!Rock the School, kita sedang berusaha dalam menyediakan peluang yang lebih baik untuk pelajar dan memastikan mereka bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar,” tambah Steven Sim.
“Inisiatif ini diharap dapat memberi kesan positif ke arah memastikan pembangunan tenaga kerja yang mampan dan berdaya saing untuk masa hadapan serta memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih stabil dan berterusan,” jelas beliau lagi.
Program selama dua hari itu melibatkan lebih 550 pelajar serta 150 guru serta kaunselor dari 34 sekolah di Pulau Pinang demi menyokong Pelan Tindakan Bakat STEM Pulau Pinang, sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 serta melengkapi Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS).
Turut hadir adalah Exco Perdagangan, Keusahawanan dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, YB Dato' Hj Rashidi Zinol; Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Dato' Haji Abdul Said Hussain; dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Mohd. Khuzzan Abu Bakar.
Hadir sama mewakili pihak pengurusan tinggi USM adalah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri & Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin; dan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA), Profesor Dr. Azizah Omar.
Teks: Nurul Athirah Mohd Faizal & Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 137