USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PAKAR GENETIK PERUBATAN USM CIPTA NAMA DALAM JURNAL BERPRESTIJ NATURE MEDICINE

PULAU PINANG, 11 September 2024 – Pakar Perunding Kanak-kanak dan Genetik Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zilfalil Alwi mencipta nama sebagai salah seorang penulis dalam jurnal berprestij bagi artikel bertajuk ‘The WHO Genomics Programme for Equitable Implementation of Human Genomics for Global Health.’

WhatsApp Image 2024 09 14 at 14.37.40

Artikel berkenaan diterbitkan dalam jurnal Nature Medicine, sebuah jurnal penyelidikan terkemuka yang mengkhusus kepada penerbitan kemajuan terkini dalam penyelidikan klinikal dan translasional untuk para saintis dan doktor.

Kertas kerja yang ditulis oleh ahli-ahli Kumpulan Penasihat Teknikal Genomik (TAG-G), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ini menekankan kepada kepentingan kritikal bidang genomik manusia terhadap kesihatan global.

Zilfalil terdahulu turut mencipta sejarah menjadi satu-satunya wakil Malaysia daripada 15 orang yang dilantik dalam kumpulan TAG-G yang bertindak sebagai penasihat kepada WHO dalam bidang genomik.

WhatsApp Image 2024 09 14 at 14.37.08

WHO sebagai sebuah organisasi antarabangsa telah melancarkan program genomik yang komprehensif yang berperanan dalam memajukan akses kepada teknologi genomik yang saksama di seluruh dunia.

Inisiatif ini adalah selari dengan kemajuan signifikan dalam bidang genomik manusia, terutamanya sejak penerbitan draf pertama penjujukan genom manusia pada tahun 2001.

Kemajuan ini telah merevolusikan diagnosis, rawatan dan pencegahan penyakit melalui penjujukan berjuta-juta genom dan penemuan pelbagai hubungan gen-penyakit.

Namun, akses kepada teknologi canggih ini masih tidak seimbang, terutamanya di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Perbezaan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kekurangan sumber dan berkeupayaan rendah untuk digunakan dalam sistem penjagaan kesihatan mereka.

Program Genomik WHO yang dipandu oleh TAG-G ini berperanan dalam menangani ketidaksamaan ini dengan menggalakkan pelaburan, memupuk kerjasama dan mengatasi setiap halangan dalam mengimplementasikan kaedah genomik secara meluas.

Tindakan utama program ini adalah termasuk usaha komunikasi bersasar yang memberi keutamaan kepada manfaat bidang genomik, pembangunan senario pelaburan yang disesuaikan dengan keperluan serantau, dan penetapan prinsip-prinsip untuk penggunaan dan perkongsian data genomik secara beretika.

Program ini juga bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dengan organisasi-organisasi dan pemegang taruh dalam bidang ini untuk memastikan satu pendekatan global yang berkoordinasi terhadap bidang genomik manusia.

Melalui usaha ini juga, WHO komited terhadap memajukan penggunaan teknologi genomik dalam meningkatkan tahap penjagaan kesihatan individu dan populasi seluruh dunia.

Kejayaan inisiatif ini turut bergantung kepada usaha kolektif di antara pihak kerajaan, komuniti dan sektor swasta untuk memastikan manfaat bidang genomik dapat diakses oleh semua, terutamanya populasi yang paling kurang mendapat perhatian.

Sumber: Kenyataan Media USM, sediaan MPRC, 11 September 2024

  • Created on .
  • Hits: 143

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024