USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA STRATEGIK USM DAN OPPSTAR, BUKTI PERANAN PENTING IPT TEMPATAN PERKASA SEKTOR E&E NEGARA

PULAU PINANG, 2 September 2024 – Selaras dengan perkembangan semasa dan kesinambungan kepada pelaksanaan Inkubator Penyelidikan dan Serap-Industri Kementerian Pendidikan Tinggi (MOHE Research and Industry-Infused Incubation, MRI3), Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah dalam menyumbang kepada usaha negara untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi khususnya dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E).

Kerjasama USM bersama pemain industri Fabless Integrated Circuit Design (Rekabentuk Litar Bersepadu Fabless – IC design) dan pemain industri semikonduktor fabrikasi juga adalah antara usaha yang banyak dilakukan dalam menyokong ekosistem rekabentuk litar bersepadu yang telah berjaya mencapai beberapa perkembangan terkini dalam industri tersebut.

USM turut bekerjasama rapat dengan rakan industri, selaras dengan hasrat KPT yang mahu institusi pendidikan tinggi negara menjalin kerjasama strategik dengan pemain industri E&E demi perkembangan sektor semikonduktor negara.

Petang tadi, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah turut singgah ke USM bagi melawat pejabat Oppstar Technology Sdn. Bhd. yang telah bekerjasama dengan universiti tersebut dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan bakat dalam rekabentuk litar bersepadu.

Oppstar Berhad merupakan penyedia perkhidmatan rekabentuk litar bersepadu premier dan telah memulakan operasi mereka pada 2014 dengan hanya diterajui tiga pakar di dalam rekabentuk IC, di mana seorang daripadanya merupakan alumni USM.

Kini, Oppstar telah berkembang sehingga mempunyai tenaga kerja melebihi 200 orang kakitangan berkemahiran tinggi dengan 20-25% adalah alumni USM.

Selain daripada R&D (Penyelidikan dan Pembangunan), Oppstar juga telah menyumbang dana sejumlah RM1,080,000 bagi menaik taraf infrastruktur rekabentuk litar bersepadu mencakupi perisian EDA (Automasi Rekabentuk Elektronik - Electronic Design Automation) dan pelayan di CEDEC USM (Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik - Centre of Excellence for Microelectronics Design Collaboration).

Pada lawatan tersebut, YB Menteri telah dibawa melihat pameran cip yang difabrikasikan menggunakan TSMC, teknologi yang dibangunkan di bawah Dana CREST dan Nexperia Malaysia yang melibatkan para pelajar pascasiswazah dari CEDEC USM yang terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa.

Beliau telah turut diberi penerangan mengenai aplikasi praktikal penyelidikan pelajar dan potensi impaknya terhadap industri semikonduktor global.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; serta barisan pengurusan Oppstar Berhad.

Sumber: Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), 2 September 2024

  • Created on .
  • Hits: 114

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024