PROGRAM BERMALAM DI MUZIUM PERDANA 2024, MGTF LUASKAN PERSPEKTIF PELAJAR SEKOLAH
USM PULAU PINANG, 5 September 2024 – Seramai 60 pelajar berumur dari 13 hingga 15 tahun telah menyertai 'Program Bermalam di Muzium Perdana 2024' yang diadakan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) pada 30 Ogos yang lalu.
Program bermalam di muzium ini dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia dan berjalan secara serentak di seluruh Malaysia, yang dilaksanakan di 32 buah muzium seperti muzium institusi, muzium negeri dan muzium yang berdaftar di bawah Jabatan Muzium Malaysia.
Peserta yang berdaftar untuk program ini merupakan pelajar daripada 10 buah sekolah di sekitar negeri di wilayah utara iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.
Menurut penolong kurator Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Nur Hafizah Ab. Aziz, MGTF USM merupakan satu-satunya lokasi muzium yang terpilih di Pulau Pinang untuk melangsungkan program ini.
“Pelbagai akiviti menarik diadakan sepanjang berlangsungnya program dan antara kelainan yang dibawa adalah aktiviti ikhtiar hidup, yang mana peserta membersihkan dan membakar sendiri ikan untuk dijadikan hidangan makanan tengah hari mereka pada 31 Ogos.
“Semangat kerjasama yang tinggi dapat dilihat pada semua peserta sewaktu menjalankan aktiviti yang juga menerapkan nilai-nilai bertanggungjawab dan pengukuhan jati diri,” kata Hafizah.
Selain itu, aktiviti menghasilkan poster dan video patriotik dalam kumpulan, program ‘ice breaking’, senaman robik, dan merentas Universiti turut diadakan.
Menurutnya lagi, program ini secara tidak langsung dapat mendekatkan pelajar kepada muzium dan menanam minat pelajar untuk mengunjungi muzium, sekaligus mengubah persepsi orang ramai yang mengatakan muzium adalah tempat yang membosankan, sunyi dan suram.
Teks: Adlin Aina Jamaludin (pelajar praktikal MPRC)/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 129