USM DAN NTK INDUSTRIAL SDN. BHD. JALIN KERJASAMA STRATEGIK, PACU PENYELIDIKAN DAN INOVASI TEKNOLOGI
NIBONG TEBAL, 4 September 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan NTK Industrial Sdn. Bhd., sebuah syarikat terkemuka dalam penyelesaian masalah bendalir di Asia Tenggara.
Majlis penandatanganan yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan USM ini membuka lembaran baru dalam kerjasama strategik antara dunia akademik dan industri, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi.
Menurut Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Madya Ir. Dr. Fadzli Mohamed Nazri, yang mewakili Naib Canselor USM, kolaborasi ini dijangka memberi impak besar dalam memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan berlandaskan industri.
“Kerjasama ini memfokuskan dua bidang utama iaitu penyelidikan dan pembangunan bakat serta sokongan terhadap penyelidikan yang berteraskan industri.
“Ia akan membuka peluang besar kepada pelajar dan kakitangan USM untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, seterusnya membantu mereka bersedia menghadapi cabaran dalam alam pekerjaan,” katanya.
Fadzli turut menekankan bahawa USM berasa bangga untuk menjalin kerjasama dengan NTK Industrial Sdn. Bhd., yang dikenali dengan inovasi penyelesaian kejuruteraan dan komitmen dalam pengurusan projek yang berkesan.
“Pengalaman luas NTK Industrial dalam bidang bendalir dan penghasilan peralatan industri seperti pam, injap, dan peniup menjadikan mereka rakan kongsi yang ideal.
“Kami yakin, sinergi ini akan memperkasa teknologi dan meningkatkan kecekapan industri,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah Urusan NTK Industrial Sdn. Bhd., Ng Thiam Kooi, menyatakan bahawa kedua-dua pihak berhasrat untuk berkongsi pengetahuan yang lebih mendalam dan relevan kepada pelajar, sekaligus memperkasa mereka dengan kemahiran terkini yang diperlukan dalam industri melalui kerjasama ini.
“Ia akan membolehkan pelajar USM memperoleh pengalaman praktikal dan pembelajaran yang lebih luas, sambil membantu mereka untuk lebih bersedia menghadapi cabaran alam pekerjaan masa depan,” tambah Ng.
Menurut beliau lagi, gabungan kepakaran akademik USM dan NTK Industrial Sdn. Bhd. juga akan dapat memperluas pengaruh dalam pasaran dan memanfaatkan peluang baharu penyelidikan dan berpotensi menghasilkan penyelesaian yang lebih efektif dan inovatif.
“Ini sekaligus memberi manfaat yang lebih besar kepada industri dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
NTK Industrial Sdn. Bhd. merupakan satu-satunya pengeluar tempatan untuk Pam Skrew yang digunakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tujuan mitigasi banjir.
Teks: Nurul Athirah Mohd Faizal & Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 118