USAHA USM MEMPERKASA INDUSTRI BERSKALA TINGGI BERADA PADA KELAS TERSENDIRI – MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
PULAU PINANG, 2 September 2024 – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir menyifatkan usaha yang dilakukan USM dalam meneraju bidang berskala tinggi khususnya semikonduktor berada pada kelasnya tersendiri.
Beliau berkata, perkara yang dilakukan USM, pada kualitinya mencapai peringkat dunia dan ia selari dengan agenda kerajaan dalam memperkasa rangkaian kerjasama triple-helix di antara kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan pemain industri.
“Kerjasama seumpama ini akan memberi impak yang cukup besar kepada negara. Kerajaan akan meneruskan agenda ini dengan membuka ruang lebih luas untuk universiti menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi khasnya dalam bidang seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya,” ujarnya.
Zambry berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Bangunan Inkubator Inovasi USM (I2U) dan Oppstar Berhad, di SAINS@USM, di sini hari ini.
Hadir sama dalam lawatan berkenaan ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Oppstar Berhad, Cheah Hun Wah; Pengarah CEDEC, Profesor Madya Dr. Asrulnizam Abd Manaf; pegawai-pegawai utama USM serta Oppstar dan sebagainya.
Lawatan kerja berkenaan antara lain bertujuan untuk beliau melihat dengan lebih terperinci kerjasama strategik USM dengan industri bagi memperkasa industri Elektrik & Elektronik (E&E) negara dalam rekabentuk litar bersepadu (IC design).
Dalam pada itu, selaras dengan perkembangan semasa dan kesinambungan kepada pelaksanaan Inkubator Penyelidikan dan Serap-Industri Kementerian Pendidikan Tinggi (MOHE Research and Industry-Infused Incubator, MRI3), USM terus mengorak langkah dalam menyumbang kepada usaha negara untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi khususnya dalam bidang Elektrik dan Elektronik (E&E).
Kerjasama USM bersama industri fabless IC design dan industri semikonduktor fabrikasi juga adalah antara usaha yang banyak dilakukan dalam menyokong ekosistem rekabentuk litar bersepadu.
USM juga melalui Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) telah berjaya membuat perjanjian bersama Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) dengan Taiwan Semiconductor Research Institute (TSRI) dalam program Academic Design Foster Package (ADFP) untuk rekabentuk litar bersepadu menggunakan teknologi FINFET.
CEDEC USM juga telah dipertanggungjawabkan sebagai pusat kecemerlangan yang akan mengatur dan menggalakkan aktiviti rekabentuk mikroelektronik spesifik kepada rekabentuk litar bersepadu.
Hal ini juga menunjukkan komitmen USM selaku ketua Konsortium E&E UA MRI3 untuk terus meneroka segala peluang yang dapat memberikan manfaat kepada pihak universiti, industri, KPT dan negara.
Dalam lawatan ke Oppstar pula, Zambry dibawa melihat pameran Cip yang difabrikasikan menggunakan teknologi TSMC yang dibangunkan di bawah Dana CREST dan Nexperia Malaysia yang melibatkan para pelajar pascasiswazah dari CEDEC yang terdiri daripada pelajar Malaysia dan antarabangsa.
Beliau turut melihat dengan lebih dekat mengenai aplikasi praktikal penyelidikan pelajar dan potensi impaknya terhadap industri semikonduktor.
Oppstar adalah rakan strategik USM yang telah bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan bakat dalam IC design. Oppstar juga telah menderma tunai RM1,080,000 untuk menaik taraf infrastruktur IC design dari segi perisian EDA dan server di CEDEC.
Oppstar menyediakan perkhidmatan rekabentuk IC (Integrated Circuit Design) premier, memulakan operasi mereka pada 2014 dengan hanya diterajui tiga pakar dalam rekabentuk IC, yang mana dua daripadanya ialah alumni USM. Namun kini berkembang sehingga mempunyai tenaga kerja melebihi 200 kakitangan berkemahiran tinggi, dan 20-25% terdiri daripada alumni USM.
Teks: Marziana Mohamed Alias & Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 295