USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAJLIS ANUGERAH SANJUNGAN BUDI 2020-2023, MANIFESTASI PENGHARGAAN USM TERHADAP KAKITANGAN YANG LAMA BERKHIDMAT

DSC 2547

NIBONG TEBAL, 29 Ogos 2024 – Majlis Anugerah Sanjungan Budi 2020-2023 merupakan manifestasi penghargaan Universiti Sains Malaysia (USM) kepada kakitangannya yang telah memberikan perkhidmatan selama 25 tahun.

Berikut adalah kenyataan Naib Canselornya, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika hadir dalam merasmikan majlis tersebut yang diadakan di Kampus Kejuruteraan USM pada hari ini.

“Kakitangan adalah nadi kejayaan sesebuah organisasi, khususnya di universiti ini yang berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan penyelidikan," ujar beliau sambil menekankan bahawa tanpa sokongan padu dan dedikasi kakitangan, misi dan visi USM tidak mungkin tercapai.

"Dari tenaga pengajar hingga staf sokongan, setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi universiti dan pencapaian objektif institusi,” tambah Abdul Rahman.

DSC 2592   DSC 2608
DSC 2641   DSC 2647

Selain daripada itu, beliau turut menyatakan bahawa penghargaan ini adalah satu usaha universiti dalam meraikan sumbangan besar kakitangannya, yang telah sama-sama membantu mengekalkan nama USM sebagai institusi unggul di peringkat kebangsaan dan antarabangsa selama ini.

Malah, anugerah ini juga telah memperlihatkan komitmen USM dalam menjaga kebajikan dan menghargai nilai pekerjanya, selaras dengan agenda APEX universiti yang mengutamakan kesejahteraan staf serta para pelajar.

Pada Majlis Anugerah Sanjungan Budi kali ini, seramai 115 daripada 187 penerima Anugerah Sanjungan Budi bagi tahun 2020 hingga 2023 telah diiktiraf dan diraikan, yang mana penganjurannya pada tahun-tahun sebelum ini telah ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

Daripada jumlah tersebut, 143 penerima masih aktif berkhidmat di USM, manakala 42 adalah staf telah tamat perkhidmatan, dan 2 orang merupakan staf pinjaman.

Turut hadir sebagai penerima anugerah adalah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dato' Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab; Pengarah Kampus Kejuruteraan, Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin; dan Ketua Pustakawan USM, Arinawati Ayob. 

DSC 3105   DSC 3176
DSC 3095   DSC 3131

Majlis diserikan jua dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Pendaftar, Mohd Azizudin Mohd Shariff; dan Pengerusi Majlis Anugerah Sanjungan Budi Tahun 2020–2023 merangkap Timbalan Pendaftar di Kampus Kejuruteraan, Mior Zulbahri M. Chek.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 171

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024