USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA TERIMA HAK EKSKLUSIF AKSES IMEJ DIGITAL SURAT LIGHT

ALOR SETAR, 28 Ogos 2024 - Universiti Sains Malaysia melalui Pusat Penyelidikan Dasar serta Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia (Perpustakaan USM) telah diberi hak tunggal oleh School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London melalui Memorandum Perjanjian (Loan of Light Letters) yang ditandatangani pada September 2018 untuk memberikan akses bagi imej digital surat-surat Light kepada para penyelidik, sarjana dan orang awam dengan menyediakan metadata deskriptif, transkripsi dan transliterasi yang boleh dicapai secara dalam talian.

WhatsApp Image 2024 08 28 at 14.28.19 1

Pinjaman imej-imej digital Surat-surat Light ini adalah yang pertama seumpamanya yang dibekalkan kepada institusi di luar dari School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

Koleksi Warkah-Warkah Kepulauan Melayu 1768-1794 merupakan koleksi manuskrip Melayu terbesar didunia yang mengandungi surat-surat yang berjumlah 1,200 pucuk surat tersimpan dalam 11 jilid termasuk surat-surat karangan atau penulisan dan nota-nota daripada Kesultanan Melayu lama, kerabat-kerabat diraja, pembesar-pembesar Melayu dan orang-orang kenamaan dari gugusan Kepulauan Melayu, rakan perniagaan, isteri-isteri pembesar Melayu, Francis Light dan beberapa peniaga Inggeris yang ditulis sepanjang tempoh 26 tahun iaitu dari tahun 1768 sehingga 1794.

WhatsApp Image 2024 08 28 at 14.28.19

Surat-surat ini diklasifikasikan kepada surat yang dikirim kepada Light, Surat yang dikirim kepada Scott, rakan niaga Light, nota, catatan, draf surat dan salinan yang dikirim oleh Light, surat-surat Raja-raja dan pembesar-pembesar, lain-lain dokumen seperti bil, resit, petisyen dan kontrak. Koleksi surat mengandungi surat-surat dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Selangor, Perak, Terengganu, Kelantan, Borneo, Acheh, Asahan, Batu Bahara, Siak, Palembang, Pontianak dan lain-lain.

WhatsApp Image 2024 08 28 at 14.28.18

Melalui projek Pendigitalan dan Dokumentasi Surat-surat Light, pihak SOAS memberikan akses kepada Surat-surat Light melalui hak-hak yang dikawalnya untuk pengkatalogan dan pencarian transkripsi dan transliterasi yang dihasilkan. Surat-surat Francis Light yang telah didigitalkan menghasilkan 2,400 imej yang perlu disimpan dengan baik.

Melalui perjanjian yang termeterai, Universiti Sains Malaysia mendapat hak simpanan imej tersebut selama mana perjanjian tidak dilanggar oleh kedua-dua belah pihak dan akan diperbaharui setiap tahun.

WhatsApp Image 2024 08 28 at 14.28.19 2

Perpustakaan USM bertanggungjawab menyimpan dan memelihara Koleksi Digital Surat-Surat Light dalam memenuhi perjanjian ini dengan memastikan: imej digital koleksi tersebut akan dapat diakses melalui sebuah portal yang diwujudkan; pengkatalogan bahan digital surat-surat Light dilaksanakan oleh Perpustakaan USM; transliterasi dan transkripsi bahan dihasilkan oleh Pusat Penyelidikan Dasar (CPR); serta pencarian transkripsi dan metadata deskriptif bahan boleh diakses melalui sistem perisian terbuka yang diuruskan oleh Perpustakaan USM: https://libdigital.usm.my

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, hak eksklusif yang diberikan kepada Perpustakaan USM sebagai penyimpan koleksi digital Surat-surat Light akan memberi peluang yang besar kepada penyelidik dalam bidang Ilmu Kemanusiaan untuk menjalankan kajian-kajian baharu tentang sejarah tanah air.

Beliau berkata, surat-surat Light amat berpotensi untuk dikaji dari pelbagai bidang dan membantu penyelidikan terutamanya dalam bidang sejarah nusantara.

“Koleksi ini mengandungi lebih kurang 1,200 surat (2,400 imej), daripada 11 jilid. Ianya mungkin merupakan koleksi terbesar (Manuskrip Melayu) di dunia yang boleh dimanfaatkan oleh para penyelidik di rantau ini.

“Akses imej digital surat-surat Light ini memberi banyak manfaat kepada dunia akademik khususnya dalam meningkatkan ketersediaan dan kualiti sumber sejarah untuk para penyelidik dan sarjana serta menyokong usaha untuk memelihara dan memahami warisan sejarah yang berharga,” tegas beliau.

Penyerahan koleksi ini adalah sebagai simbolik warkah yang telah pulang semula kepada pemilik asalnya, seumpama sireh pulang ke gagang.

Warkah-warkah ini melibatkan sejarah tanah air terutamanya negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Warkah-warkah ini banyak merekodkan perhubungan di antara Francis Light dan kerabat Kedah iaitu nenek moyang Sultan Kedah terdahulu.

Ia memuatkan maklumat transaksi perdagangan, budaya dan lanskap sejarah di nusantara.

Teks: Perpustakaan Hamzah Sendut/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Shamil Shazwan Abu Bakar

KETERANGAN GAMBAR: Foto-foto yang disertakan adalah sekitar Majlis Penyerahan Koleksi Warkah-warkah Kepulauan Melayu 1768-1794 kepada Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Kedah Darul Aman.
 
  • Created on .
  • Hits: 234

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024