USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA UNIVERSITAS NEGERI MEDAN INDONESIA
USM PULAU PINANG, 27 Ogos 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menerima kunjungan daripada delegasi Universitas Negeri Medan, Indonesia (UNIMED).
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab yang mewakili Naib Canselor telah menerima kunjungan hormat delegasi Jawatan Kuasa Pengurusan Tertinggi UNIMED, dengan diketuai oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Baharuddin, S.T., M.Pd dan disertai 13 orang ahli delegasi.
Kunjungan itu merupakan inisiatif yang diambil oleh UNIMED sewaktu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PTPM (Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia) USM pada 9 Mei 2023 lalu, untuk menjalinkan usaha kerjasama khususnya dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Hasil daripada kerjasama dengan PTPM, UNIMED telah melaksanakan beberapa inisiatif kerjasama, termasuk “International Inbound Programme” yang berlangsung pada 17 hingga 23 September 2023 untuk meraikan pelajar dan pensyarah, dan usaha penyelidikan kolaboratif yang membawa kepada penerbritan bersama antara USM dan UNIMED.
Selain itu, pihak PTPM juga telah mencadangkan penganjuran bengkel dan pertandingan bagi menggalakkan pertukaran ilmu dalam bidang penyelidikan antara warga USM dan UNIMED.
Kedua-dua pihak berharap agar kerjasama ini dapat dimanfaatkan bersama dalam tempoh 8 tahun akan datang demi memupuk dan membina reputasi kecemerlangan akademik.
Teks: Adlin Aina Jamaludin (Pelajar praktikal MPRC)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 148