USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IR. TS. DR. MUHAMMAD HAFIZ HASSAN TERPILIH JALANI PROGRAM MOBILITI PENYELIDIKAN DI ATTARAT POWER COMPANY (APCO), JORDAN

USM NIBONG TEBAL, 14 Ogos 2024 – Penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Universiti Sains Malaysia (USM), Ir. Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan telah terpilih untuk menjalani Program Mobiliti Penyelidikan di Attarat Power Company (APCO), Jordan selama dua minggu bermula 27 Julai hingga 9 Ogos 2024 baru-baru ini.

Program mobiliti penyelidikan yang dijalani oleh Hafiz itu merupakan anjuran Education Malaysia Jordan (EMJ) dan dibiayai oleh pihak APCO, Jordan serta USM melalui Skim Insentif Pengantarabangsaan (I2S).

Projek tersebut juga adalah satu pelaburan tenaga yang besar di Jordan yang bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan negara tersebut terhadap import tenaga sambil memperkukuhkan keselamatan tenaganya.

Selain daripada itu, program mobiliti penyelidikan itu turut diharap dapat memberi peluang kepada penyelidik muda dari Malaysia untuk menyumbangkan kepakaran dalam bidang masing-masing bagi menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul sepanjang lawatan industri tersebut.

"Program mobiliti ini bagus dan sangat berguna kepada penyelidik muda seperti saya,” kata Hafiz.

“Ianya dapat mengukuhkan hubungan dan mengaplikasikan dapatan kajian yang diperoleh di peringkat antarabangsa dan saya berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang," kata beliau.

Menurut Hafiz lagi, sepanjang program dijalankan, para penyelidik turut dibawa untuk meninjau pengoperasian loji jana kuasa serta didedahkan dengan masalah-masalah yang sering berlaku di lapangan.

“Malah, beberapa projek telah dipersetujui untuk diteruskan ke peringkat seterusnya dan kelak akan diaplikasikan oleh pelajar tahun akhir sebagai projek tahun akhir mereka yang seterusnya dapat diaplikasikan di lapangan dan diiktiraf oleh pihak industri,” ulas Hafiz.

Sebagai syarikat tenaga yang berpangkalan di Jordan, Attarat Power Company (APCO) adalah peneraju utama dalam pembangunan projek loji jana kuasa tenaga syal minyak pertama negara tersebut.

Syarikat itu ditubuhkan untuk mengurus dan mengendalikan projek Attarat, dengan matlamat memanfaatkan sumber syal minyak yang banyak terdapat di kawasan tersebut sebagai bahan bakar utama untuk penjanaan elektrik.

Teks: Siti Faizah Abd Halim & Nurul Athirah Mohd Faizal (Pelajar Latihan Industri)/Foto sumbangan Ir. Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan

  • Created on .
  • Hits: 104

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024