DICE 2.0: USM ZAHIR KECEMERLANGAN DALAM DUNIA DIGITAL KREATIF
USM, PULAU PINANG, 21 Ogos 2024 - USM berjaya meraih kejayaan besar dalam bidang teknologi dan inovasi kreatif apabila menjuarai dua kategori utama dalam Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 2.0, salah satu inisiatif di bawah Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021-2025 yang berlangsung di The V Clubhouse, Nilai baru-baru ini.
Pada edisi DICE 2.0 tahun ini, USM unggul dengan membawa pulang dua anugerah utama daripada empat kategori yang dipertandingkan iaitu johan bagi kategori filem pendek dan aplikasi interaktif media (AR/VR), selain meraih anugerah Reruai Terbaik, mengukuhkan lagi reputasinya dalam dunia kreatif digital.
Menerusi program ini, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM (BHEPA) melalui Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar telah menghantar beberapa orang pelajar dari Pusat Pengajian Seni USM serta beberapa rakan pelajar lain dari Pusat Pengajian Komunikasi dan Pusat Pengajian Sains Komputer bagi membentuk sebuah pasukan.
Kejayaan ini adalah hasil dedikasi kumpulan yang dipimpin oleh Dr. Nur Zaidi Azraai dan Encik Norazam Zabania selaku mentor dari Pusat Pengajian Seni, Bahagian Media Baru serta Felo Industri Media Baru bagi menyelia pembangunan projek tersebut.
Projek-projek yang dimenangi ini menumpukan kepada aplikasi kreatif yang relevan dengan keperluan masa kini, khususnya dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 yang memfokuskan kepada pendidikan inklusif dan berkualiti.
“Kemenangan ini bukan sahaja menyerlahkan bakat kreatif pelajar, tetapi juga memanfaatkan teknologi media untuk menghasilkan kandungan yang menarik dan mendidik” ujar Nur Zaidi.
Tambah beliau, “Projek filem pendek dan aplikasi AR yang dibangunkan oleh pelajar USM bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kitar semula dan penjanaan kewangan, sejajar dengan kecemerlangan USM dalam aspek rekabentuk teknologi kreatif.”
Program ini melibatkan penyertaan seramai 250 pelajar dari universiti awam, swasta, serta institusi luar negara, politeknik, dan kolej komuniti yang mempersembahkan 50 projek kandungan kreatif.
DICE 2.0 diperkasakan melalui kerjasama strategik dengan The Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan turut melibatkan kolaborasi bersama Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Pusat Kerjaya, Teknousahawan dan Jaringan Pintar (PaKaT) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta beberapa syarikat swasta.
Empat kategori utama yang dipertandingkan adalah animasi, filem pendek, aplikasi interaktif media (AR/VR), dan aplikasi permainan digital.
Majlis penutupan DICE 2.0 telah disempurnakan oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Nur Zaidi turut menambah, kejayaan itu juga disifatkan berpotensi untuk memperkukuhkan kredibiliti USM sebagai peneraju dalam reka bentuk teknologi kreatif dalam jangka masa panjang.
“Selain itu, ia membuka peluang kerjasama antara universiti dan industri, memberikan peluang pekerjaan dan latihan kepada pelajar, serta memperkukuhkan rangkaian alumni yang terus menyokong pembangunan universiti,” ujar beliau lanjut.
Sumber & Foto: Nirmaryadi Rashid (BHEPA)/Suntingan: Shafinaz Md Ismail & Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 231