USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MoA USM–ALCON PERKUKUH LIBATSAMA INDUSTRI DALAM TEKNOLOGI PEMBEDAHAN KATARAK MATA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Ogos 2024 – Sebagai sebuah universiti penyelidikan yang sentiasa berusaha memastikan kecemerlangan setiap program akademik yang dijalankan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Alcon Laboratories (M) Sdn. Bhd. untuk memperkukuh kerjasama melibatkan program pengajaran dan latihan pembedahan katarak mata.

WhatsApp Image 2024 08 15 at 2.59.03 PM2

Pemeteraian MoA itu disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail mewakili Naib Canselor USM dan Dekan PPSP, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman bagi pihak USM, manakala Alcon Laboratories (M) Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Ketua Bahagian Komersial, Chow Lee Sim dan Pengurus Pemasaran Serantau, Wilson Tan.

Berucap di majlis tersebut, Shaiful Bahari berkata, projek tersebut merupakan projek kolaboratif industri antara Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM dan Alcon Laboratories (M) Sdn. Bhd. yang dimeterai selama lima (5) tahun.

WhatsApp Image 2024 08 15 at 2.59.02 PM2

"Dalam perbincangan yang diadakan oleh pihak USM dan Alcon, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalinkan kolaborasi melibatkan program pengajaran dan latihan pembedahan yang memberi kelebihan bersama kepada kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini antara lain bertujuan menyediakan satu platform latihan pembedahan katarak bagi semua pelajar Sarjana Perubatan (Oftalmologi) USM selain menyediakan kelengkapan asas yang diperlukan untuk pembedahan katarak menggunakan teknik ‘phacoemulsification’.

WhatsApp Image 2024 08 15 at 2.59.03 PM3

“Selain itu, ia juga bertujuan menyediakan kepakaran dan bantuan teknikal daripada Alcon Laboratories (M) Sdn. Bhd. sepanjang tempoh latihan diadakan serta memberi peluang kepada pelajar Sarjana Perubatan (Oftalmologi) USM untuk menjalani latihan pembedahan katarak di Alcon’s Phaco Wetlab di Petaling Jaya, Selangor secara berkala dengan kos penginapan dan pengangkutan disediakan oleh pihak Alcon,” ujarnya.

Menurut Shaiful Bahari lagi, program ini penting sebagai satu persediaan yang kritikal untuk para pelajar Sarjana Perubatan (Oftalmologi) mendapatkan latihan pembedahan katarak di Makmal Latihan Mikrosurgikal terlebih dahulu sebelum dibenarkan melakukan pembedahan di dewan bedah yang melibatkan para pesakit.

WhatsApp Image 2024 08 15 at 2.59.04 PM

“Program ini turut membantu melatih para pelajar melakukan setiap teknik pembedahan dengan tepat dan baik, mengurangkan risiko yang boleh berlaku semasa pembedahan berlangsung, mempercepatkan tempoh masa setiap pembedahan yang dilakukan di dewan bedah serta meningkatkan tahap kompetensi para pelajar semasa melakukan pembedahan katarak.

“Dengan adanya projek kerjasama seperti ini, USM juga boleh menjadi hub Pendidikan Latihan Pembedahan Katarak di Malaysia di samping melatih para pelajar pasca siswazah dan Pegawai Perubatan daripada institusi pengajian tinggi yang lain dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.

Shaiful Bahari turut menyambut baik hasrat Alcon Laboratories (M) Sdn. Bhd. untuk menjadi rakan kolaborasi industri dalam menjayakan misi melahirkan Pakar Oftalmologi yang kompeten daripada aspek klinikal dan pembedahan bagi memastikan mutu dan tahap perkhidmatan oftalmologi yang cemerlang di Malaysia.

WhatsApp Image 2024 08 15 at 2.59.04 PM1

Sementara itu, Lee Sim pula berkata, MoA ini merupakan simbol komitmen kedua-dua belah pihak untuk mencapai matlamat bersama.

“Melalui memorandum ini, kita tidak hanya mengukuhkan hubungan antara Alcon dan USM, tetapi juga meningkatkan mutu latihan dan menyumbang kepada pembangunan kemahiran dalam bidang oftalmologi.

WhatsApp Image 2024 08 15 at 2.59.02 PM

“Semoga kerjasama ini akan membawa manfaat besar kepada kedua-dua pihak dan masyarakat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan-timbalan dekan PPSP USM; dan Ketua Jabatan, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual PPSP USM merangkap Ketua Projek MoA antara USM dan Alcon Laboratories (Malaysia) Sdn. Bhd., Profesor Dr. Shatriah Ismail.

WhatsApp Image 2024 08 15 at 2.59.05 PM

Teks: Rosalwani Che Soh/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 130

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024