USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TAMPALAN GIGI SEWARNA MAMPU KEMBALIKAN FUNGSI DAN RUPA ASAL GIGI

IMG 20240809 WA0007

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Ogos 2024 – Tampalan gigi sewarna atau turut dikenali sebagai tampalan komposit amat popular pada masa kini kerana lebih selamat dan estetik untuk memastikan kesihatan gigi dan penampilan yang lebih baik.

Tampalan yang menyerupai warna gigi asli ini digunakan untuk merawat kerosakan gigi atau kaviti serta membentuk semula gigi untuk mengembalikan fungsi asalnya.

Umumnya, tampalan gigi sewarna lebih digunakan pada gigi yang berada di kawasan yang terlihat seperti gigi depan kerana hasilnya lebih natural (semula jadi) berbanding tampalan logam.

Penggunaan tampalan logam kini semakin berkurangan bukan hanya kerana estetik, tetapi juga disebabkan kebimbangan mengenai kandungan merkuri yang terdapat dalam bahan tersebut.

Pensyarah Pergigian, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Rabihah Alawi berkata, tampalan ini diperbuat daripada resin komposit yang mampu menyamai warna gigi asal agar tidak wujud perbezaan yang ketara dengan gigi asli.

“Prosedurnya bermula dengan membersihkan kawasan gigi yang mempunyai karies atau kaviti, kemudian diisi dengan bahan komposit dan cahaya digunakan untuk mengeraskan bahan komposit.

“Walaupun tampalan sewarna tahan lama, ianya tidak sekuat tampalan logam. Oleh itu, ia lebih sesuai untuk kerosakan kecil atau sederhana dan disarankan agar tidak digunakan untuk mengunyah makanan yang terlalu keras,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Rabihah, setelah melakukan prosedur tampalan gigi sewarna, pesakit perlu menjaga tampalan ini dengan mengamalkan kebersihan gigi dengan baik.

“Kebersihan mulut yang baik sangat penting untuk mengekalkan penampilan tampalan sewarna. Walaupun tampalan ini tahan noda, pengambilan makanan dan minuman seperti teh, kopi atau kari yang mengandungi pewarna boleh menyebabkan perubahan warna dari semasa ke semasa.

“Untuk mengurangkan risiko ini, pesakit disaran untuk berkumur setelah makan atau minum selain menggosok gigi dua (2) kali sehari dengan ubat gigi yang mengandungi fluorida dan menggunakan flos gigi secara teratur untuk mengelakkan pembentukan plak.

“Selain itu, pesakit juga disaran melakukan pemeriksaan gigi secara berkala untuk pembersihan profesional dan pemeriksaan tampalan. Dengan langkah-langkah ini, tampalan sewarna dapat kekal dalam keadaan baik dan penampilannya bertahan lebih lama,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, tampalan sewarna biasanya lebih mahal berbanding tampalan logam kerana bahan yang digunakan dan prosesnya yang lebih rumit.

“Kos atau caj yang dikenakan pula bergantung kepada saiz tampalan dan jenis gigi sama ada gigi depan atau geraham.

“Tampalan sewarna memerlukan tempoh masa yang lebih untuk disiapkan kerana proses pengisian dan pengukuhannya lebih kompleks,” ulasnya.

Jelas Rabihah, terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin dihadapi selepas menggunakan tampalan gigi sewarna.

“Kesannya ialah seperti sensitiviti gigi sementara, rasa tidak selesa pada gigi yang dirawat dan kemungkinan perubahan warna atau tekstur dalam jangka masa yang panjang.

“Para pesakit dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor gigi mengenai sebarang kebimbangan atau gejala yang mungkin timbul selepas prosedur tersebut,” katanya lagi.

Rabihah turut menasihati orang ramai agar mengikut arahan yang diberikan oleh doktor gigi bagi memastikan penyembuhan yang betul supaya dapat meningkatkan jangka hayat pemulihan gigi.

“Pesakit perlu mengelak daripada makan atau minum makanan panas dan keras untuk 24 jam pertama, berhati-hati semasa mengunyah makanan, mengekalkan kebersihan mulut dengan memberus dan flos perlahan-lahan di sekitar kawasan pemulihan.

“Selain itu, pesakit juga dinasihatkan tidak merokok dan mengambil makanan yang mengandungi bahan pewarna untuk mengelakkan perubahan warna pada tampalan serta hubungi doktor gigi jika mengalami kesakitan yang berterusan, bengkak atau sebarang gejala luar biasa lain," jelasnya lanjut.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob/Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom

  • Created on .
  • Hits: 136

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024