74 KADET KOR SISPA USM DITAULIAHKAN SEBAGAI LEFTENAN MUDA PERTAHANAN AWAM
USM PULAU PINANG, 21 Ogos 2024 – Seramai 74 Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Universiti Sains Malaysia (USM) ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam dalam Majlis Istiadat Pentauliahan Kor SISPA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-15 Tahun 2024 yang dilangsungkan dengan jayanya pada 18 Ogos 2024 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor.
Pada majlis itu juga, Lt. M (PA) Muhammad Azrul Haiqal Ahamad Fuad daripada Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik USM.
Majlis berprestij tersebut turut menyaksikan seramai 827 Pegawai Kadet Kor SISPA daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda Pertahanan Awam serta Staf Muda Pertahanan Awam.
Menurut Timbalan Komandan Kor SISPA USM, Kol. Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim, Pegawai-pegawai Kadet Kor SISPA USM telah menjalani latihan intensif yang bermula sejak 13 Ogos 2024 di UTHM sebelum ditauliahkan.
“Menerusi program Kor SISPA ini, saya yakin para pelajar akan lahir sebagai graduan yang holistik dengan memiliki kecemerlangan akademik dan kemahiran insaniah yang tinggi.
“Mereka juga akan memiliki sifat kepemimpinan dalam masyarakat serta memiliki kelebihan dalam menempuhi alam pekerjaan yang mencabar nanti,” katanya.
Komandan Kor SISPA USM merangkap Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, PPj. Kehormat (PA) Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat, bersama-sama dengan Timbalan Komandan, Kol. Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim; Ajutan, Mej. Bersekutu (PA) Gs. Dr. Mohd Amirul Mahamud; dan Penyelaras Sekretariat, Kapt. Bersekutu (PA) Mohd Jaya Mohd Johan; serta Jurulatih-Jurulatih daripada Angkatan Pertahanan Awam Pulau Pinang hadir untuk meraikan para kadet yang telah berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia, YAS Datuk KPj. (PA) Aminurrahim Mohamed; Komandan, Timbalan Komandan, Ajutan, dan Pegawai Bersekutu Kor SISPA IPT dan IPG serta Pegawai APM seluruh Malaysia.
Semangat berdaya maju dan berintegriti dalam kalangan Pegawai Kadet Kor SISPA USM diharapkan akan terus berkembang selaras dengan moto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, "Sedia, Pantas, dan Berintegriti".
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua Pegawai Kadet Kor SISPA USM yang telah berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam pada tahun 2024.
Teks: Mej. Bersekutu (PA) Gs. Dr. Mohd Amirul Mahamud, Pengerusi Rancangan dan Ajutan, Kor SISPA USM/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 471