TINGKATKAN UPAYA PELAJAR MELALUI ASENet
MEDAN, SUMATERA UTARA (INDONESIA), 6 Jun 2015 - Para pelajar universiti perlu menerokai peluang seluas mungkin melalui pengupayaan dalam pelbagai aktiviti, termasuk keusahawanan.
Menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman, usaha pengupayaan ini perlu diteruskan dan disokong dengan mendorong para pelajar untuk lebih berfokus dan bekerja bersama-sama untuk pembangunan negara.
"Di USM usaha ini dilakukan secara berterusan kepada pelajar melalui pelbagai inisiatif seperti Dewan Perundingan Pelajar atau Parlimen Mahasiswa yang membolehkan pandangan pelajar tentang pelbagai isu dibawa ke tengah, misalnya dalam menyatakan pandangan mereka terhadap isu Rohingya," kata Omar ketika melancarkan ASEAN Student Entrepreneurship Network (ASENet) di kampus Universitas Sumatera Utara (USU) di sini hari ini.
Kira-kira 150 orang pelajar dari Universitas Sumatera Utara (USU), Universitas Negeri Medan, Institut Teknologi Medan, Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) dan Universitas Pembangunan Panca Budi hadir di majlis pelancaran tersebut.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, wakil Rektor III Mahasiswa Dr. Raja Bongsu dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM Mohamad Shafiq Kamaruddin.
ASENet ditubuhkan sebagai sebahagian rangkaian kerja dalam kalangan pelajar universiti ASEAN sebagai inisiatif untuk pembangunan ekonomi ASEAN dengan memperkenalkan dan mengukuhkan semangat dan usaha kerja keusahawanan dalam kalangan pelajar dari universiti di Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam, Myanmar, Indonesia dan Filipina.
"Rangkaian ini dapat menghubungkan sesetengah aktiviti bersama yang terancang dan tertentu tanpa mengenepikan apa jua usaha yang dilakukan di universiti-universiti yang sedia ada," kata Omar.
Dijangkakan akan berlangsungnya upacara penandatanganan persefahaman di antara Majlis Perwakilan Pelajar USM dengan pertubuhan pelajar universiti-universiti ASEAN pada 18 September 2015 di USM Pulau Pinang dan Persidangan Rangkaian Keusahawanan Pelajar ASEAN atau Conference on ASEAN Student Entrepreneurship Network (USMNet) pada November 2015.
Teks: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1457