USM GEMILANG DI SUKUM, RAIH 15 PINGAT EMAS & DINOBAT NAIB JUARA
USM, PULAU PINANG, 18 Ogos 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan kecemerlangannya apabila meraih gelaran Naib Juara dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) 2024 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini.
Dengan kekuatan kontinjen yang terdiri daripada 227 atlet, USM berjaya mengharumkan nama universiti dengan membawa pulang 15 pingat emas, 10 pingat perak, dan 19 pingat gangsa dalam 11 acara sukan yang dipertandingkan.
Pencapaian 44 pingat secara keseluruhan dalam edisi kejohanan ke-45 ini membolehkan USM berada di tempat kedua daripada 20 kontinjen yang mengambil bahagian, ketinggalan hanya dengan perbezaan pingat perak dengan sang juara.
Pasukan Bola Sepak Senior mencatat pencapaian cemerlang dengan merangkul gelaran Johan tanpa sebarang rekod kekalahan. Pasukan Tenpin Bowling lelaki USM juga turut meneruskan legasi kecemerlangan apabila memastikan pingat emas kekal milik USM dalam edisi SUKUM untuk tiga tahun berturut-turut.
Pendaftar USM merangkap Ketua Kontinjen USM di SUKUM 2024, Mohd Azizuddin Mohd Shariff berkata, USM berbangga dengan pencapaian yang dipamerkan pada SUKUM kali ini dan berharap momentum berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Tahniah diucapkan kepada atlet USM yang memacu kejayaan di SUKUM dengan cemerlang serta bermain dengan penuh semangat kesukanan. Kerjasama antara warga USM juga telah menjurus kepada kejayaan yang diraih oleh kontingen USM di negeri di bawah bayu ini,” ujar beliau.
- Kredit: FB Pusat Sukan UMS
Aziz juga berkata, sejajar dengan komitmen dan disiplin yang dicerminkan sewaktu acara sukan berlangsung, USM berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu kedudukan tiga terbaik daripada keseluruhan kontinjen yang mengambil bahagian.
Teks: Shafinaz Md Ismail & Adlin Aina Jamaludin (Pelajar Latihan Industri)/Suntingan: Marziana Mohamed Alias/Foto: En. Syed Azreezal Syed Ahmad Mufazzal
- Created on .
- Hits: 206