USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

REBORN REHAB RAIH KEJAYAAN BERGANDA KONVENSYEN KIK UNIVERSITI AWAM

IMG 20240811 WA0004

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Ogos 2024 – Kumpulan Reborn Rehab dari Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM meraih kejayaan berganda apabila dinobatkan sebagai johan dan memenangi kategori persembahan terbaik serta penarafan emas dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) antara Universiti Awam pada 8 Ogos lalu.

Dalam konvensyen yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMP) itu, pasukan Reborn Rehab yang mempertaruhkan projek SUPER-T mengungguli pertandingan apabila diumumkan sebagai johan dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 beserta trofi dan sijil.

SUPER-T merupakan gabungan lima (5) fungsi dalam satu (1) alat yang dicipta khas untuk membantu rawatan pemulihan kanak-kanak yang mengalami masalah kelewatan perkembangan seperti ‘cerebral palsy’.

IMG 20240811 WA0008

Lima (5) fungsi yang digabungkan dalam SUPER-T ialah berdiri menghadap ke hadapan dan ke belakang, duduk, pindahan (transfer), latihan bangun dan duduk serta latihan motor halus.

Selain itu, SUPER-T juga dihasilkan bertujuan membantu ibu bapa atau penjaga melatih dan merawat anak mereka yang menghadapi masalah lewat perkembangan di rumah secara berterusan.

Ia juga mengurangkan kebergantungan kepada sesi rawatan di hospital selain menjimatkan masa yang terpaksa dilalui pesakit semasa mendapatkan rawatan disebabkan perlu menggunakan lima (5) alat yang berlainan.

SUPER-T telah diuji dan digunakan untuk rawatan di Hospital USM dan mendapat sambutan yang menggalakkan kerana harga yang ditawarkan adalah mampu milik.

IMG 20240811 WA0007

Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman merakamkan ucapan tahniah kepada Kumpulan Reborn Rehab atas kejayaan yang dirangkul mereka.

“Pengurusan Hospital USM sentiasa meraikan idea-idea baharu, inovasi serta kreativiti dalam penyampaian perkhidmatan, khususnya yang memberi manfaat daripada aspek penjimatan masa dan kos serta mampu meningkatkan kualiti dan kepuasan kepada pesakit.

“Saya percaya kejayaan ini adalah hasil usaha kerja berpasukan serta semangat yang tinggi daripada setiap ahli untuk membantu masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.

“Teruskan usaha untuk mengekalkan kejayaan ini dan jangan lokek untuk berkongsi ilmu dengan staf di unit atau jabatan lain bagi melahirkan pelapis yang mempunyai semangat serta keazaman yang sama,” jelasnya semasa menyantuni pasukan tersebut.

Nik Hisamuddin turut memberi dorongan dan berharap agar lebih ramai individu serta pasukan dalam kalangan warga kerja Hospital USM dan Kampus Kesihatan yang meneruskan kesinambungan pasukan tersebut dengan mengembangkan idea-idea dan inovasi baharu untuk faedah rakyat.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 168

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024