USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LEBIH SEDEKAD KEWUJUDAN KAMPUS PESISIR USM: TERUS BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT SETEMPAT DI BELGAUM, INDIA

454781355 986861793238448 407497875179281599 n

USM-KLE, BELGAUM, INDIA, 14 Ogos 2024 – Seramai 89 pelajar perubatan Kampus USM-KLE Belgaum, India dengan jayanya telah mengadakan program ‘Health Camp & Health Exhibition’ di Kampung Mastmaradi, Belgaum, Karnataka India pada 6 Ogos 2024 yang lalu.

Melalui program tersebut, para pelajar bersama-sama pensyarah pakar daripada bahagian perubatan awam (community medicine) menghulurkan bantuan perawatan dan penasihatan berdasarkan masalah kesihatan yang berlaku dalam kalangan penduduk kampung Mastmaradi berdasarkan kajian soal selidik yang telah dilakukan oleh para pelajar sebelum itu.

Antara permasalahan yang diteliti adalah seperti masalah kebersihan persekitaran (poor sanitation), penyakit bawaan vektor (vector-borne diseases) dan obesiti.

454582104 986862043238423 6119753942910207871 n   454570545 986862036571757 7506427802950233173 n

Pada hari tersebut, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti ujian saringan tekanan darah, pemeriksaan kandungan gula dalam darah, konsultasi bersama doktor pakar serta pemberian ubat dan makanan tambahan (supplement) secara percuma kepada penduduk kampung yang memerlukan.

Selain itu, para pelajar juga mengambil peluang untuk mengadakan pameran dan advokasi kesihatan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk kampung berkaitan penyakit bawaan vektor (vector-borne diseases) dan pemilihan makanan yang berkhasiat.

Melalui program kesukarelawanan seperti itu, para pelajar turut diberi pendedahan untuk merancang dan mengurus projek-projek intervensi bersesuaian dengan masalah kesihatan yang dikenal pasti dalam komuniti selain mengaplikasikan kemahiran klinikal dan berkongsi pengetahuan berkaitan penjagaan kesihatan dalam kalangan penduduk kampung.

454409446 986871676570793 242292411722019081 n   454443535 986862189905075 6018754643474079157 n

Program kemasyarakatan seperti itu juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar untuk turut bersama-sama penduduk kampung, dan pelajar juga dapat mewujudkan perasaan empati serta sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki.

Aktiviti kesukarelawanan seumpama itu menyokong dasar Service-Learning Malaysia - University for Society (SULAM) yang diterapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia.

Program seperti itu wajar diteruskan pada masa akan datang dalam melatih dan memupuk kecekapan bakal pegawai perubatan untuk lebih dekat dengan masyarakat.

USM telah memulakan kerjasama dengan 'Karnataka Lingayat Education (KLE) Society' sejak tahun 2010 untuk melatih prasiswazah dalam bidang perubatan dengan menggunakan kurikukum USM di kampus pesisir USM-KLE Belgaum, Karnataka, India.

Teks/foto: Tahun 3 Program Antarabangsa Doktor Perubatan, USM-KLE/Suntingan: Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan, BHEPA

  • Created on .
  • Hits: 169

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024