USM METERAI MoU, KOLABORASI DENGAN CICM DALAM MELAKSANAKAN PROGRAM RESPONSIBLE CARE UNTUK KEMAJUAN INDUSTRI KIMIA DI PERINGKAT GLOBAL
USM PULAU PINANG, 14 Ogos 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Chemical Industries Council of Malaysia (CICM) bagi melaksanakan kolaborasi bersama untuk program Responsible Care (RC).
MoU ini bertujuan untuk mengimplimentasikan inisiatif sukarela industri kimia yang diadakan secara global untuk memantapkan kecemerlangan institusi dalam aspek keselamatan, kesihatan, sekuriti dan persekitaran secara bersepadu melalui operasi, penghasilan produk, penyelidikan dan jaringan kemasyarakatan.
Sesi penandatanganan MoU telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Pengerusi CICM, Datuk Dr. Abdul Hapiz Abdullah.
Menurut Abdul Rahman, “USM berbesar hati untuk menyertai program Responsible Care (RC) yang dianjurkan oleh pihak CICM. Lebih membanggakan, USM merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) yang pertama di Malaysia yang menjadi ahli CICM dan menyertai program RC ini.”
“Tahniah kepada Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) USM menerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan dan Sekuriti Kimia (JPKSK) dalam menyelaraskan program RC ini di USM.
“Sebagai permulaan, tiga PTJ USM dipilih bagi pelaksanaan Responsible Care Management System (RCMS) ialah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Kampus Induk; INFORMM, Kampus Kesihatan; dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Kampus Kejuruteraan,” katanya, yang turut mengharapkan pada masa hadapan, lebih banyak PTJ yang akan mengikut jejak ini.
Menurut Abd Hapiz pula, “Responsibilty Care merupakan program kesukarelawanan yang mana kejayaan program ini memerlukan komitmen tinggi yang datangnya dari sifat tanggungjawab di dalam setiap diri individu yang terlibat.”
“Saya berharap agar perbezaan hasil pelaksanaan RCMS dalam industri kimia ini dapat dilihat dalam tempoh masa 12 bulan perjanjian ini dimeterai dan pihak USM dapat melahirkan lebih ramai graduan yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam pengendalian bahan kimia.”
Antara yang turut hadir dalam majlis, termasuk Ketua Unit, UKKP, USM, Mohd Hafizul Mohd Arop; Pengarah Eksekutif, CICM, Dato’ Muhtar Hashim; Pengerusi Jawatankuasa JPKSK, USM, Profesor Madya ChM Dr. Lee Hooi Ling; dan Pengurus Pejabat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pulau Pinang, Jimmy Hendrick Anak Kijon.
Program kolaborasi ini ditaja sepenuhnya oleh PERKESO dan International Council of Chemical Associations (ICCA).
CICM ialah peneraju utama Responsible Care (RC) di Malaysia. Sejak pelancaran RC di Malaysia pada tahun 1994, sebanyak 150 syarikat kimia di negara ini telah bersetuju untuk mengendalikan operasi mereka mengikut 10 Prinsip Panduan dan Kod Amalan Pengurusan RC.
Teks: Adlin Aina Jamaludin (pelajar praktikal MPRC)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 189