USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KURSUS PERISIAN PALEOSCAN TINGKATKAN KEMAHIRAN BIDANG GEOFIZIK

USM PULAU PINANG, 13 Ogos 2024 – Program Geofizik di bawah Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama syarikat peneraju global dalam perisian interpretasi seismik, Ellis Sdn. Bhd., telah menganjurkan kursus intensif selama tiga hari dari 6 hingga 8 Ogos 2024 bagi melatih peserta menggunakan perisian PaleoScan.

Pic 03

Kursus ini menarik penyertaan seramai 12 orang, termasuk lima pensyarah dan tujuh pelajar sarjana kedoktoran.

Pic 021

Majlis perasmian kursus ini telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi, dan Libatsama Industri Komuniti, Profesor Madya Dr. Azhar Abdul Rahman dengan kehadiran tiga Geosaintis Kanan syarikat Ellis sebagai tetamu kehormat iaitu Nor Azhar Ibrahim, Sapinah Saleh, dan Ahmad Ridhwan Abd Rahim.

Kerjasama ini dirintis oleh dua pensyarah Geofizik – Dr. Joseph Gnapragasan dan Pengerusi Rancangan, Dr. Andy Anderson Bery, yang juga bertindak sebagai fasilitator sepanjang kursus berlangsung.

Pic 04  Pic 08

Menurut Andy, objektif kursus ini adalah untuk meningkatkan kemahiran peserta dalam penggunaan perisian PaleoScan, yang merupakan alat penting dalam pengajaran dan penyelidikan berkaitan geofizik.

“Melalui penggunaan perisian ini, peserta dapat mempelajari teknik-teknik interpretasi seismik yang canggih serta memahami konsep Model Relative Geological Time (RGT) yang dicipta oleh Ellis Sdn. Bhd.”

Menurutnya lagi, syarikat ini turut menyumbangkan lima lesen perisian PaleoScan bernilai RM3.58 juta kepada USM sebagai sokongan kepada usaha memajukan penyelidikan dan pendidikan di universiti.

Pic 01

“Sumbangan ini dijangka memberi manfaat besar kepada USM, terutamanya dalam memperkukuhkan lagi kualiti pengajaran dan penyelidikan geofizik yang ditawarkan di peringkat antarabangsa,” tambah Andy. 

Beliau turut berkata, “Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen USM untuk terus mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG-17) yang menitikberatkan kerjasama antara institusi pendidikan dan pemain industri dalam mencapai matlamat bersama.”

Sumber: Dr. Andy Anderson Bery, Pusat Pengajian Sains Fizik, USM/Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Pusat Pengajian Sains Fizik

  • Created on .
  • Hits: 346

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024