PELAJAR USM KE AUSTRALIA TINJAU PRAKTIS AMALAN BAIK; ANTARA USAHA CAPAI AGENDA PEMERKASAAN DAN KEPIMPINAN MAHASISWA
PULAU PINANG, 12 Ogos 2024 – Program Outshine 2.0 ke La Trobe University dan Monash University, Australia disifatkan sebagai satu platform penting dalam melatih dan memperkasa bakat kepimpinan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM).
Program Outshine 2.0 merupakan inisiatif mobiliti pelajar keluar negara yang dianjurkan oleh Majlis Penggawa dengan kerjasama Majlis Yang Dipertua Desasiswa (MYDP) USM.
Ketua Delegasi Outshine 2.0, Nurul Izzati Rozali berkata, program berkenaan dirangka khusus bagi membolehkan peserta mempelajari kaedah dan amalan baik dalam pembangunan kepimpinan pelajar di sana.
“Pelajar USM diberi peluang bertemu dengan kepimpinan pelajar di La Trobe University dan Monash University, Australia.
“Melalui pertemuan itu mereka dapat menilai semula serta menambah baik program serta aktiviti kepimpinan dengan mengambil kira model dan inisiatif baharu yang dipelajari,” ujarnya.
Izzati juga menegaskan, program seumpama itu adalah selari dengan hasrat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin untuk mengadakan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan kedua-dua universiti terlibat.
Penglibatan pelajar dalam aktiviti bertaraf global amat penting sebagai nilai tambah bagi membangunkan bakat kepimpinan pelajar yang berinovatif, berfikiran global dan mempunyai peribadi unggul.
Program yang bertemakan 'Student Empowerment: Sustainability and Inclusivity' itu juga adalah salah satu agenda yang menyokong inisiatif '1 Student 1 Passport' yang telah dibangunkan USM pada tahun 2009.
Dalam pada itu, salah seorang peserta, Muhammad Amnan Faiz Khairul Nizam pula berkata, beliau memperoleh pengalaman amat berharga sepanjang kunjungannya ke Australia itu.
“Reka bentuk asrama yang sangat mesra pelajar dan kondusif serta kemudahan teknologi yang canggih di asrama tersebut juga sesuatu yang boleh dijadikan contoh dan inspirasi," ujar beliau.
Dalam pada itu, program berkenaan juga merupakan satu langkah yang proaktif oleh USM dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan seiring dengan hasrat melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global.
Program Outshine 2.0 bukan sahaja berjaya mencapai matlamatnya, malah telah membuka peluang kolaborasi yang akan memberikan manfaat jangka panjang kepada kedua-dua institusi pendidikan tinggi tersebut.
Sumber teks: Nurul Izzati Rozali, Pemangku Penggawa Desasiswa Aman Damai/Suntingan: Marziana Mohamed Alias/Foto: Delegasi Program Outshine 2.0
- Created on .
- Hits: 170