LAWATAN TIMBALAN MENTERI MITI FOKUS BAKAT DAN MODAL INSAN INDUSTRI SEMIKONDUKTOR
SAINS@USM, BUKIT JAMBUL, 12 Ogos 2024 – Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), YB Liew Chin Tong bersama Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (Government linked investment companies, GLIC) menghadiri program ”Penang-Kulim Semiconductor Study Tour” anjuran bersama Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat USM, Khazanah Nasional Berhad, dan Research for Social Advancement (REFSA).
Menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, “Industri semikonduktor adalah sektor kritikal bagi ekonomi negara dengan anggaran sumbangan 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) di Malaysia.”
“Syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLICs) diseru untuk menyokong kejayaan pelaksanaan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 28 Mei lalu semasa acara SEMICON Southeast Asia 2024,” jelas beliau.
Sesi Meja Bulat yang bertemakan ”Bakat dan Modal Insan dalam Industri Semikonduktor di Malaysia” dimanfaatkan untuk mengenal pasti pelbagai isu dan faktor berkaitan kekurangan bakat serta mencari penyelesaian bersama dengan lebih berkesan.
Selain Naib Canselor USM, panel lain yang terlibat adalah Naib Canselor UniMAP, Profesor Dr. Zaliman Sauli; Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Skills Development Centre (PSDC), Dr. Hari Narayanan; dan Rektor UiTM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali.
Perkongsian pada sesi dialog ini dapat meneroka strategi-strategi yang dapat memastikan Malaysia mampu memanfaatkan sepenuhnya peluang dan potensi dalam industri semikonduktor.
Turut hadir pada sesi tersebut adalah pengarah jabatan, dan dekan pusat pengajian serta pegawai-pegawai utama Universiti.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 202