USM ANJUR LAWATAN KERJA KSU KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
USM PULAU PINANG, 9 Ogos 2024 – Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang mengadakan kunjungan ke kampus induk Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini sempena lawatan kerja ke Kompleks Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPharm) dan lawatan ke beberapa tapak projek pembangunan.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed semasa ucapan aluan kunjungan YB KSU KPT ke USM bagi jalinan kerjasama rapat di antara USM dan IPharm, menyatakan sokongan KPT dapat memberikan sinergi baru membantu USM untuk berkolaborasi dalam bidang rentas Elektrik dan Elektronik dengan pemain industri di Pulau Pinang dan Malaysia amnya.
Objektif utama lawatan YB KSU KPT adalah meninjau potensi fasiliti di bangunan Biopharma IPharm untuk dimanfaatkan sepenuhnya bagi kegunaan program pesisir Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
Kekurangan ruang di kampus induk dan ketersediaan bangunan blok Biopharma boleh menawarkan peluang segera pelaksanaan program akademik Elektrik dan Elektronik USM dengan mengoptimumkan penggunaan fasiliti sedia ada.
YB KSU KPT menyatakan kepentingan segera agar USM dapat menggunakan ruang sedia ada di salah satu bangunan IPharm sebagai makmal Elektrik dan Elektronik yang lengkap dan kemudahan tersebut boleh digunakan khususnya oleh pemain-pemain industri semikonduktor di Pulau Pinang di samping mengeluarkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang ini bagi memenuhi keperluan negara.
Dalam lawatan berkenaan, YB KSU KPT turut meninjau beberapa tapak projek pembangunan USM di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Antara projek yang terletak di bawah inisiatif RMK-12 yang dilawati oleh YB KSU KPT di kampus induk adalah Blok C22, Bangunan Eureka, Pusat Pengajian Sains Farmasi, PP Sains Kimia, PP Sains Kajihayat, Studio Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, dan laluan pejalan kaki tapak ekspo konvokesyen.
Pembentangan penaiktarafan fasiliti universiti ini telah dibentangkan oleh Bahagian Pengurusan Projek (BPP), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) USM beserta status pelaksanaannya yang terkini.
Hadir sama ke sesi itu ialah delegasi KPT, pengarah jabatan, dan dekan pusat pengajian serta pegawai-pegawai utama Universiti.
Teks: Shafinaz Md Ismail / Foto: Mohd Fairus Md Isa & Shamil Shazwan Abu Bakar
- Created on .
- Hits: 248