ISDEV USM TERIMA SUNTIKAN DANA DARIPADA PNB DAN ASNB; SEBAGAI USAHA MENYOKONG PELBAGAI PROGRAM MEMBANTU GOLONGAN TERKEBAWAH
USM PULAU PINANG, 8 Ogos 2024 - Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Sumbangan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan telah menerima sejumlah dana sumbangan sebagai sokongan untuk terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah pusat rujukan serantau dalam bidang Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam.
Tajaan sumbangan sejumlah RM 232,443.00 telah disumbangkan untuk merealisaikan halatuju kerjasama ini, yang mana sebahagiannya diperuntukkan untuk projek Sumbangan Van Dakwah (RM 155,463.00), Anugerah Geran Penyelidikan AWSB-ISDEV (RM 5,000.00), Pembiayaan bagi Program Digital Literasi Intervensi Insan (RM 24,900.00) dan untuk Pembiayaan Anugerah Khas Pendidikan/Biasiswa AWSB-ISDEV (RM47,080.00).
Kesemua sumbangan diserahkan dalam bentuk 3 ‘Mock-cheque’ dan 1 ‘Mock-key’.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, “Kali ini, saya melihat ISDEV mengorak satu langkah terkehadapan membina jaringan kukuh bersama industri iaitu PNB dan ASNB. Projek Pembiayaan Program Digital Literasi Intervensi Insan menerusi pembangunan asnaf merupakan projek yang mempunyai impak, namun kekurangan dana untuk meneruskan projek tersebut menyebabkan kekangan projek itu untuk terus berjalan dengan lancar.”
“Tujuannya bagi membantu mencari solusi terhadap kebajikan masyarakat dalam konteks pembangunan Islam di peringkat bottom billion.”
Sumbangan ini merupakan inisiatif untuk meningkatkan peluang buat Anak Asnaf Ahli Qariah di kawasan Sungai Nibong bagi mentransformasikan dan menyediakan Next-Gen Qariah Sungai Nibong untuk memperoleh kemahiran abad ke-21 dalam pasca era moden yang semakin mencabar ini.
Dalam pada itu, Penolong Pengurus PNB, Zaki Fadhil Azizan turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Naib Canselor dan pihak ISDEV kerana sudi memberikan peluang untuk menjalinkan kerjasama demi kemajuan anak muda dalam bidang pendidikan dan berharap agar sumbangan yang diberikan untuk tujuan pembangunan pendidikan pelajar USM dapat memberikan impak yang positif.
Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan dana tersebut ialah wakil-wakil penaja dari Pemodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB); Pengarah ISDEV, Profesor Madya Dr. Shahir Akram Hassan; Pengasas ISDEV yang kini ialah Profesor Kehormat ISDEV, Profesor Emeritus Dr. Mohd Sakri@ Shukri Salleh.
Teks: Adlin Aina Jamaludin/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 200