USM RANGKUL JOHAN DAN PERSEMBAHAN TERBAIK DALAM KIK PERINGKAT UNIVERSITI AWAM
USM PULAU PINANG, 8 Ogos 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat kejayaan cemerlang dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) antara Universiti Awam yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMP) hari ini.
Kumpulan Reborn Rehab dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) meraih kejayaan berganda apabila dinobat sebagai juara dan persembahan terbaik yang menonjol, melalui projek inovatif mereka SUPER-T.
Mereka membawa pulang wang tunai RM6,000 beserta trofi dan sijil.
SUPER-T merupakan alat bantuan rawatan pemulihan kanak-kanak yang mengalami masalah kelewatan perkembangan dan ianya merangkumi lima fungsi dalam satu alat.
Ciptaan ini adalah untuk menyelesaikan masalah tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan susulan pemulihan awal kanak-kanak yang biasanya mengambil masa yang lama.
Selain kemenangan tersebut, dua lagi kumpulan dari USM turut meraih Anugerah Khas Juri dan Anugerah Penarafan Gangsa.
Kumpulan CNergy yang juga dari HUSM berjaya meraih Anugerah Khas Juri manakala Kumpulan Solaris daripada Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Kampus Induk USM mendapat Anugerah Penarafan Gangsa.
Pengiktirafan ini memperlihatkan komitmen USM dalam membudayakan inovasi dan penyelesaian masalah dalam kalangan warga Universiti.
Ia sekaligus dapat menyuntik semangat dan memberikan dorongan kepada semua peserta untuk terus mengembangkan idea-idea baharu dan menyumbang kepada kemajuan institusi serta masyarakat.
Teks: Marziana Mohamed Alias & Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 288