227 ATLET USM ANTARA KONTINJEN TERBESAR BERSAING DI SUKUM KE-45
USM PULAU PINANG, 2 Ogos 2024 – Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) buat kali ke-45 bakal membuka tirai kembali, yang mana edisi kali ini menyaksikan Universiti Sains Malaysia (USM) mempertaruhkan sejumlah 227 atlet dan pegawai yang merupakan kontinjen terbesar antara universiti-universiti awam yang mengambil bahagian.
Sukan berprestij antara universiti yang bakal bermula pada 8 Ogos 2024 selama 10 hari di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selaku tuan rumah, bakal menyaksikan semangat juang tinggi staf-staf USM menyertai 16 acara daripada keseluruhan yang dipertandingkan.
Misi USM pada kali ini adalah meraih kedudukan yang lebih baik berbanding edisi dua tahun lalu di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan meletakkan sasaran untuk meraih lebih daripada 16 Emas, 11 Perak dan 11 Gangsa, seperti yang disasarkan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi USM.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM yang menjalankan fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dr. Azlan Amran berkata, beliau amat mengharapkan kontinjen USM yang terlibat mempamerkan disiplin dan semangat juang tinggi serta bertarung sebaik mungkin demi menjulang nama USM.
"Saya mendoakan kontinjen USM mampu mencapai sasaran kali ini dengan membawa pulang lebih banyak pingat emas berbanding dengan kejohanan lalu yang diadakan di UPM,” katanya ketika hadir di majlis Penyerahan Bendera Kejohanan SUKUM 2024 kali ke-45 di Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, USM.
Azlan juga menggesa atlet-atlet USM supaya menunjukkan contoh adab dan disiplin yang tinggi, patuh pada arahan penganjur dan yang penting menjaga nama baik USM di luar sana, sekaligus mengangkat nama USM sebagai antara universiti terbaik bertanding di penghujung kejohanan nanti.
Katanya lagi, dengan sasaran pungutan pingat yang ditetapkan, menjadi harapan universiti untuk melihat kontinjen USM menghuni kedudukan tiga terbaik daripada keseluruhan kontinjen yang mengambil bahagian.
Sementara itu, Pendaftar USM merangkap Ketua Kontinjen USM di SUKUM 2024, Mohd Azizuddin Mohd Shariff berkata, daripada komitmen yang dipamerkan oleh semua atlet yang bakal bertanding, membuktikan betapa tingginya semangat kesukanan, ukhwah dan kerjasama antara warga USM dalam bidang sukan yang membawa kepada output kecemerlangan dalam program penyertaan sukan.
“Penyertaan USM dengan membawa kontinjen yang terbesar kali ini adalah selaras dengan halatuju USM dan sasaran Program Kesejahteraan Staf dalam Pengupayaan dan Sumbangan Staf Melalui Sukan iaitu melahirkan atlet berkualiti dalam kalangan staf yang boleh mencemerlangkan nama USM di persada kebangsaan dan antarabangsa,” jelasnya.
Azizuddin turut menekankan bahawa SUKUM pada tahun ini akan menjadi penanda aras atau benchmark untuk penyertaan SUKUM dalam penganjuran yang akan datang berdasarkan pencapaian atlet dan pasukan.
Hadir bersama ialah Ombudsman USM, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim; dan pegawai-pegawai utama USM yang lain.
Pada edisi kejohanan SUKUM 2022 ke-44 yang lalu di UPM, USM berjaya mempamerkan kecemerlangan mengutip 16 pingat Emas, 11 Perak dan 11 Gangsa.
Untuk SUKUM 2024 ke-45 ini, USM mengambil bahagian dalam 16 acara sukan berikut:
- Bola Sepak Veteran
- Bola Sepak Senior
- Berbasikal
- Futsal
- Bola Jaring
- Ten Pin Bowling
- Golf
- Hoki
- Petanque
- Ping Pong
- Olahraga
- Sepaktakraw
- Tennis
- Badminton
- Catur
- Bola Tampar Lelaki
Seluruh warga USM mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan kecemerlangan buat atlet-atlet yang akan berentap mewakili Universiti di Kejohanan SUKUM kali ini.
Teks: Nurhidayah Shahbuddin & Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Shahnizam Ab Rahim & Shamil Shazwan Abu Bakar
- Created on .
- Hits: 1087