USM PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN ALUMNI DI INDONESIA
MEDAN, SUMATERA UTARA (INDONESIA), 5 Jun 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) merancang untuk tingkatkan pengambilan pelajar ijazah pertama secara persisiran sehingga 2,000 orang melalui kolaborasi dengan universiti di Sumatera Utara dengan sasaran enrolmen pelajar pengajian jarak jauh keseluruhannya seramai 10,000 menjelang tahun 2020.
"Ini memungkinkan untuk USM memberi peluang kepada alumninya untuk terlibat sama dalam program akademik yang ada," kata Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman dalam perjumpaan dengan kira-kira 100 orang alumni USM di sini sambil mengalu-alukan Ikatan Alumni USM Sumatera Utara yang baru ditubuhkan secara rasmi.
Omar juga menyatakan sokongan kepada usaha untuk menubuhkan ikatan alumni USM tersebut dan menyatakan kesediaan untuk memberikan bantuan kewangan yang bersesuaian termasuk untuk mengadakan persidangan.
Pada masa ini USM mempunyai seramai lebih 140,000 orang alumni tidak termasuk lebih 2,000 orang alumni pada peringkat doktor falsafah.
"Kita mengalu-alukan alumni USM untuk bersama-sama dengan universiti termasuk mengadakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian," tambah Omar.
Naib Canselor USM itu juga memberikan perkembangan terkini universiti dengan kedudukan kampus-kampusnya di Pulau Pinang, Kelantan, Kuala Lumpur dan India serta usaha menawarkan program bersama-sama universiti ternama dunia.
"Dengan adanya pusat-pusat penyelidikan yang mempunyai impak tinggi, lebih ramai calon termasuk dari Indonesia kini berupaya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi tanpa perlu lagi pergi ke negara-negara maju seperti di benua Eropah," kata Omar lagi.
Naib Canselor turut menyarankan agar Ikatan Alumni Sumatera Utara terlibat sama dalam aktiviti libat sama komuniti untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan misalnya dalam kalangan pelarian Rohingya termasuk membantu dari segi keilmuan kepada mereka yang malang ini.
"Begitu juga saya ingin mengajak para alumni untuk kembali memberi kepada masyarakat ilmu dan kepakaran yang ada, misalnya kemungkinan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana alam di mana-mana negara dengan menyediakan rakyat untuk bersedia menghadapinya melalui perkongsian kepakaran yang ada di samping turut membantu masyarakat yang lanjut usia melalui perkhidmatan-perkhidmatan tertentu seperti program penjagaan kesihatan," tambah Onar lagi.
Sementara itu alumni Komunikasi yang kini menjadi ketua Program Pasca Ijazah Komunikasi di Universitas Sumatera Utara Dr. Lusiana yang berucap mewakili alumni USM Sumatera Utara mengalu-alukan pertemuan yang diadakan ini dan berharap untuk bertemu dan berbual dengan kepimpinan tertinggi USM untuk berkongsi aspirasi yang ada.
"Ikatan alumni USM di Sumatera Utara, Acheh dan Jakarta juga merancang untuk mengadakan konferens antarabangsa yang melibatkan alumni USM pada 23 - 25 Mei 2016, berusaha untuk menghasilkan penerbitan berwasit serta menyarankan untuk melibatkan alumni USM sebagai penilai luar kepada pelajar Indonesia di Malaysia," kata Lusiana.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein dan Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal. - Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1105