USM LEBARKAN SAYAP JALINAN KERJASAMA AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN DENGAN OXUS UNIVERSITY DI UZBEKISTAN
TASHKENT, UZBEKISTAN, 31 Julai 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pengurusan telah menjalin kerjasama bersama OXUS University di Uzbekistan melalui Memorandum Perjanjian (MoA) yang termeterai pada semalam bagi penawaran program Sarjana Analitik Perniagaan dan Sarjana Pengurusan Profesional.
Sesi penandatanganan telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, bersama Rektor OXUS University, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim sempena lawatan delegasi USM ke OXUS University di Uzbekistan.
Kerjasama ini akan membuka peluang pengembangan agenda pengantarabangsaan universiti di samping meneroka peluang baharu di Uzbekistan.
Menurut Naib Canselor, kerjasama ini turut mengukuhkan kedudukan USM sebagai pusat pembelajaran dan penyelidikan global.
“Pelbagai saluran kerjasama dan aktiviti termasuk projek penyelidikan bersama, program pertukaran, dan pembangunan program akademik inovatif akan diterokai bersama oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Selain itu, MoA ini juga mewujudkan platform bagi menggalakkan pertukaran pelajar dan staf, penerbitan penyelidikan, latihan amali, serta mempromosikan budaya dan warisan kedua-dua negara.
Rangka lawatan ini juga turut melibatkan sesi audit fizikal tapak program yang diketuai oleh Penyelaras USM LEAP, Profesor Dr. Lee Keat Teong.
Delegasi USM yang turut hadir semasa majlis penandatanganan itu ialah Dekan, Pusat Pengajian Pengurusan, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad; Penyelaras USM LEAP, Profesor Dr. Lee Keat Teong; dan Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan, Norwahida Azwa Abdul Halim.
Manakala dari OXUS University ialah Timbalan Rektor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Dilafruz Abdumajidova; dan Timbalan Rektor Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan, Shukhratjon Yoqubov.
Foto: Delegasi USM di Tashkent
- Created on .
- Hits: 274