USM SEDIA BANTU PEMBANGUNAN ILMU UMAT ISLAM
MEDAN, SUMATERA UTARA (INDONESIA), 5 Jun 2015 - Walaupun Universiti Sains Malaysia (USM) adalah sebuah universiti berteraskan Sains dan Teknologi dengan lebih 70% pengajian adalah dalam bidang tersebut, namun ini bukanlah halangan untuk turut membantu dalam pembangunan ilmu dalam kalangan umat Islam dalam bidang-bidang lain termasuk yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat.
Hal ini dinyatakan oleh Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman menjelaskan demikian kepada rektor dan wakil beberapa buah universiti di sini hari ini.
"Malah kita mempunyai hubungan rapat dengan Universiti Madinah yang juga berpandangan bahawa universiti-universiti boleh bekerjasama untuk tujuan sedemikian dalam melebarkan penawaran program pengajian yang ada secara persisiran bersama-sama termasuk dalam penawaran program di luar negeri Pulau Pinang termasuk ke Indonesia," kata Omar.
Tambahnya, ini lebih bermakna lagi untuk menerokai potensi penawaran pengajian pada peringkat ijazah tinggi untuk membina ilmu pengetahuan dan membina kekuatan ahli-ahli akademik dalam bidang tertentu apatah lagi dalam pembangunan kapasiti yang boleh dikongsi bersama-sama melalui kolaborasi melangkaui apa yang sedia ada.
"USM ingin berkolaborasi dengan mengurangkan modal pelaburan yang berasaskan model ekonomi berasaskan keuntungan semata-mata sebaliknya kolaborasi berteraskan kepakaran yang ada, misalnya mewujudkan jurnal pembangunan Islam yang berteraskan teknologi secara bersama-sama yang melibatkan negara-negara lain dalam pelbagai bahasa untuk membolehkan berlakunya perkongsian ilmu," kata Omar.
Naib Canselor USM juga menyatakan kesediaan untuk bersama-sama meningkatkan kemampuan kecekapan tadbir urus dan perancangan pembangunan jangka panjang universiti di Sumatera Utara Indonesia dengan bantuan kepakaran yang ada.
Menurut Rektor Universitas Medan Area Profesor Dr. H. Ali Ya'kob Matondang, permasalahan umat Islam perlu dilakukan bersama-sama melalui kolaborasi yang membuka peluang bekerjasama dengan universiti di Malaysia dan Indonesia dan juga dari negara-negara ASEAN.
Ini katanya termasuklah dalam menangani isu-isu seperti nasib umat Islam seperti pelarian Rohingya yang perlu ditangani bersama-sama demi kemashlanatan ummah.
Beliau juga membangkitkan isu yang berkaitan dengan usaha membuka jalur perdagangan sutera yang melibatkan Republik Rakyat China yang melibatkan beberapa buah wilayah yang berautonomi untuk dibantu usaha pembangunannya yang melibatkan umat Islam dan bagaimana universiti-universiti dapat bekerjasama untuk turut serta dalam proses pembangunan yang berlaku.
Wakil Rektor UMSU Dr. Muhammad Ariffin Gultom pula berkata, kerjasama di antara USM dengan UMSU telah lama berjalan lancar melalui beberapa program persidangan antarabangsa dan kerjasama akademik.
Muhammad Ariffin menyambut baik cadangan untuk menghasilkan jurnal pembangunan Islam yang berupaya mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Beliau turut mencadangkan agar usaha ditingkatkan termasuk pertukaran pensyarah di antara UMSU dan USM.
"Kita mengharapkan agar usaha yang sedia ada dapat ditingkatkan dan diteruskan pada masa hadapan melalui kolaborasi yang ada termasuk melalui IMT-GT dan institusi pengajian lain di Sumatera Utara dan Thailand," katanya lagi.
Sementara itu, Rektor Universitas Nahdatul Ulama, Profesor Dr. Ir. H. Ahmad Rafiqi Thantawi mencadangkan agar dibangunkan semangat 1 Islam dalam membangunkan umat Islam melalui pendidikan tinggi secara bersepadu walaupun aliran pemikiran berbeza namun landasan Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada ummah perlu dipegang.
Ahmad Rafiqi menyambut baik cadangan untuk USM meningkatkan tadbir urus universiti-universiti di rantau ini.
Dipersetujui bahawa usaha-usaha dilakukan untuk mewujudkan satu pelantar pembangunan Islam yang kuat dalam bidang-bidang pengajian yang ada dan menjalin kerjasama dalam bidang-bidang kekuatan bersama dengan saling mengukuhkan di samping menyediakan para pensyarah yang berkelayakan paling tinggi melalui perancangan jangka panjang.
Sementara itu alumni USM yang menjadi pemilik Hotel Madani Medan, Dr. H. Dedi Masri menawarkan hotelnya sebagai wadah pertemuan dan perjumpaan ilmuan Islam dan tempat untuk membangunkan ilmu pengetahuan dalam kalangan cendekiawan Islam di Sumatera Utara memandangkan hotel ini adalah satu-satunya hotel yang dimiliki sepenuhnya orang Islam di Medan.
"Saya berbangga menjadi alumni USM dan ingin menabur bakti atas nama USM demi kepentingan umat Islam dengan menjadikannya pusat pertemuan cendekiawan Islam dari USM mahupun yang berada di sekitar Sumatera Utara ini," kata Dedi.
Hadir sama dalam perjumpaan tersebut ialah Dekan Usuluddin Universitas Islam Negeri Medan, Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Profesor Dr. Mohd. Sakri @ Syukri Salleh serta alumni USM terutamanya dari dalam kalangan mereka yang pernah mengikuti pengajian ijazah tinggi di ISDEV.
Pada akhir pertemuan, USM bersetuju untuk membangunkan kerangka kerja yang jelas dengan menandatangani persefahaman dengan semua pihak di universiti dan institusi pengajian tinggi di Medan Sumatera Utara pada masa hadapan yang berstruktur secara mantap untuk memperkukuhkan penawaran program akademik, penyelidikan dan alumni melalui Pusat Kolaborasi atau Majlis Pembangunan Islam sebagai wadah pembangunan Islam yang berterusan.
Ini termasuklah juga mengadakan kolokium, persidangan, penawaran tempat peperiksaan dan sebagainya bagi tujuan tersebut. - Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1245