USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA PELAJAR SARJANA USM ANTARA 14 PENERIMA BYDPA 2024

BYDPA31

PULAU PINANG, 24 Julai 2024 – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim baru-baru ini telah berkenan berangkat mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2024 kepada 14 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Istana Negara pada 17 Julai yang lalu.

Penerima dipilih oleh Jawatankuasa BYDPA di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dalam kalangan mereka yang sedang menjalani pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran (PhD) dalam pelbagai bidang sains dan teknologi di universiti dalam dan luar negara.

Turut terpilih ialah dua pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) peringkat sarjana dalam bidang Sarjana Sains (Bioperubatan) iaitu Jeyrubini Ramesh dan Nasihah Mohd Zahid.

WhatsApp Image 2024 07 25 at 9.49.00 AM

Jeyrubini, 26, yang kini sedang menuntut di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM memfokuskan penyelidikannya kepada kanser Leukemia Mieloid Akut (AML) dengan tumpuan khusus pada mekanisme berasaskan imun dalam pesakit AML yang aktif.

Dalam kajiannya itu, dia mengenal pasti gen-gen yang terlibat dalam pengawalan imun semasa fasa aktif AML melalui analisis RNA-Seq transkriptom seluruh, yang boleh menyumbang kepada pembangunan strategi terapeutik yang disesuaikan berdasarkan profil imun unik pesakit AML.

“Penyelidikan saya tertumpu kepada salah satu kanser yang paling biasa di Malaysia iaitu kanser AML yang mana kajian ini bertujuan untuk memahami landskap imun pesakit AML yang aktif, yang menyumbang kepada rawatan berasaskan imunoterapi.

“Saya berharap penyelidikan saya akan memberi manfaat kepada rawatan imunoterapi pada masa hadapan untuk pesakit AML,” kata Jeyrubini lagi.

Jeyrubini yang lulus dengan PNGK 3.85 dalam Ijazah Sarjana Muda berkata, beliau mendedikasikan kejayaan dan pencapaiannya kepada datuknya, yang merupakan pembimbing dan penyorak terhebat sepanjang perjalanan pembelajarannya.

Sementara itu, penuntut Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Nasihah yang berasal dari Besut, Terengganu berkata, beliau kini sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang Bioperubatan Imunologi (Teknologi Nano) bawah seliaan Dr. Nor Fazila Che Mat.

Menurut Nasihah, penyelidikannya tertumpu kepada mengkaji kesan gabungan Baicalein dan Carbon Nanodots (BCDs) untuk meningkatkan bioavailabiliti dan sifat anti kanser Baicalein.

“Kajian ini bertujuan untuk meneroka bagaimana penggabungan Baicalein dengan Carbon Nanodots (CD) boleh meningkatkan keberkesanan Baicalein sebagai terapeutik anti kanser dengan menangani cabarannya, seperti keterlarutan dan bioavailabiliti yang lemah, yang mengehadkan aplikasi klinikalnya.

“Dengan menggunakan CD sebagai sistem penghantaran, kajian ini bertujuan untuk meningkatkan keterlarutan dan kestabilan Baicalein, meningkatkan penyerapan dan bioavailabilitinya, serta membolehkan penghantaran yang disasarkan kepada sel-sel kanser,” ujarnya lagi.

Tambah Nasihah, pendekatan baru ini dijangka meningkatkan keberkesanan terapeutik Baicalein, mengurangkan dos yang diperlukan, dan meminimumkan kesan sampingan, akhirnya menyumbang kepada pilihan rawatan kanser yang lebih cekap dan tepat pada masa hadapan.

WhatsApp Image 2024 07 25 at 9.48.44 AM

BYDPA ialah biasiswa berprestij yang diperkenalkan pada tahun 2006. Sehingga kini, sebanyak 19 sesi tawaran dilaksanakan dengan 212 warganegara Malaysia menerima penajaan BYDPA iaitu 107 orang pada peringkat PhD dan 105 peringkat Sarjana.

USM berasa amat berbangga dan berbesar hati meraikan pencapaian Jeyrubini dan Nasihah.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Jeyrubini dan Nasihah atas pencapaian cemerlang dan semoga dapat terus mengharumkan nama universiti di mata dunia.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 166

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024