USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM THE ADVENTURE OF TRAINERS 2.0: FLY HIGH TOGETHER: PERKASA KEUPAYAAN DAN POTENSI PELATIH PPDK

WhatsApp Image 2024 07 19 at 4.56.46 PM

BAYAN LEPAS, PULAU PINANG, 20 Julai 2024 – Dalam usaha untuk terus memperkasa keupayaan dan potensi pelatih Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui PPDK kampus induk telah menganjurkan satu program yang julung kali diadakan iaitu The Adventure of Trainers 2.0: Fly High Together 2024 di Langkawi, Kedah.

Program yang berlangsung 3 hari 2 malam (19 hingga 21 Julai 2024) itu membabitkan seramai 121 peserta yang terdiri daripada pelatih, ibu bapa dan guru-guru diterbangkan ke Langkawi bagi memberi pendedahan kepada mereka untuk menimba pengalaman luar bagi mencabar kebolehan diri ketika dalam persekitaran luar.

WhatsApp Image 2024 07 19 at 4.56.45 PM

Penganjuran program itu juga merupakan satu bentuk terapi pemulihan untuk meningkatkan kemahiran integrasi pelatih dalam kelompok masyarakat.

Hadir bagi mewakili Naib Canselor USM di majlis ringkas pelepasan peserta program yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang petang kelmarin ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran.

Azlan merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak Malaysia Aviation Group (MAG) atas kesudian menaja 114 peserta program bagi penerbangan pergi balik dari Pulau Pinang ke Langkawi dan Langkawi ke Pulau Pinang.

“Jutaan terima kasih juga ditujukan kepada pihak Malaysia Airport Berhad (MAB), Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM) dan Langkawi Development Authority (LADA) serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini,” katanya.

Azlan berkata lagi, “Program ini juga bertujuan melatih ibu bapa pelatih (TOT) supaya bersedia menghadapi situasi luar, selain mendedahkan pelatih kepada realiti kehidupan sebenar, meningkatkan kawalan tingkah laku dan emosi mereka.”

WhatsApp Image 2024 07 19 at 4.56.43 PM

“Pada masa sama, ia diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan dalam persekitaran baharu.

“Selain itu, program ini juga bertujuan mewujudkan kerjasama komuniti PPDK demi kemajuan dan perkembangan 24 pelatih yang merupakan anak-anak pendidikan khas pelbagai kategori berusia antara tiga hingga 16 tahun,” jelasnya.

“Diharapkan program ini dapat memperkasakan perkembangan berterusan pelatih dan USM sentiasa memberi sokongan penuh dalam memastikan perkembangan mereka dapat dioptimumkan,” katanya lanjut.

Hadir sama, Ketua Stesen Malaysia Aviation Group (MAG), Wan Mohd Shamshah Mohamad Akhir; Eksekutif Pemasaran Zon Utara, Naslinda Nasbah dan Pengurus Kumpulan, Komunikasi Korporat, Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM), Farrah Sharizah Mohd Yunus.

WhatsApp Image 2024 07 19 at 4.56.42 PM

Dalam pada itu, Pengerusi PPDK kampus induk USM, Dr. Syazwani Drani, yang turut hadir berkata, PPDK merupakan inisiatif USM yang telah ditubuhkan sejak tahun 2019 bagi melatih kemahiran motor kasar dan halus, khususnya kepada pelatih yang terdiri daripada anak-anak pendidikan khas.

“Malah USM adalah universiti awam pertama yang memulakan inisiatif menubuhkan PPDK dalam kampus sejak 19 Julai 2019 dan kini mempunyai seramai 56 orang pelatih dalam pelbagai kategori yang terdiri daripada anak kakitangan dan komuniti setempat.

“Selaras dengan aspirasi misi dan visi USM, projek PPDK ini memberi impak sangat positif kepada kakitangan, komuniti setempat dan universiti sendiri.

“Perkembangan dan potensi pelatih terus digilap sehingga PPDK USM dijadikan penanda aras oleh 20 universiti awam di negara ini, selain menerima kunjungan pakar perubatan hospital, sekolah pendidikan khas bagi melihat proses pemulihan dilakukan kepada pelatih,” kata Syazwani yang juga merupakan pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM.

WhatsApp Image 2024 07 19 at 4.56.44 PM

Menurut Azlan lagi, USM amat terbuka untuk melakukan kolaborasi dengan mana-mana industri dan agensi bagi bersama-sama dalam memperkasa golongan kelainan upaya.

“Ia kerana program seumpama ini satu bentuk terapi pemulihan untuk meningkatkan kemahiran integrasi pelatih dalam kelompok masyarakat.”

Teks: Tan Ewe Hoe & Siti Fatimah Abu Mansor/Foto: Mohd Fairus Md Isa  

  • Created on .
  • Hits: 268

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024