USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR PPKA USM TERPILIH IKUTI PROGRAM SKY GLOBAL APPRENTICESHIP DI TURKISH AEROSPACE

CYBERJAYA, 18 Julai 2024 – Program Sky Global Apprenticeship merupakan salah satu inisiatif berimpak tinggi di bawah kerjasama Konsortium Universiti Malaysia (CMU), Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan TUSAS Malaysia, yang dimeterai pada 7 April 2023.

Kerjasama yang dimeterai itu ialah sebagai platform menyokong keperluan bakat dalam merealisasikan visi negara dan bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan reka bentuk, pembangunan dan industri pembuatan aeroangkasa Malaysia seperti yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPKA) Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan antara pusat pengajian yang giat dalam bidang penyelidikan yang berkaitan.

Oleh itu, seorang pelajar tahun tiga PPKA USM, Seaan Manuel Pillay baru-baru ini telah menerima tawaran mengikuti Program Sky Global Apprenticeship di Turkish Aerospace, Ankara, Turkiye yang akan bermula pada 2 September hingga 27 September 2024.

WhatsApp Image 2024 07 19 at 16.46.13

WhatsApp Image 2024 07 19 at 10.12.30

Program ini telah direka khas buat pelajar Malaysia bagi memastikan mereka dapat dilatih secara profesional dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa merentasi pelbagai disiplin dan menerima pendedahan berkaitan pengalaman praktikal termasuklah avionik, reka bentuk elektronik, pengaturcaraan, reka bentuk struktur pesawat, dan pemasangan sistem pesawat dalam sektor yang kian berkembang pesat ini.

Majlis Penyerahan Surat Tawaran telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pada 16 Julai yang lalu di MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT, Cyberjaya.

Menurut Zambry, inisiatif itu akan memberikan manfaat besar kepada negara dengan mengembangkan kemahiran kejuruteraan pelajar Malaysia melalui pengalaman kerja antarabangsa seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri aeroangkasa.

“Usaha sama ini akan membina jaringan profesional antara Malaysia dan Turkiye dalam sektor aeroangkasa serta menyumbang kepada pembangunan modal insan dalam bidang teknologi tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat yang turut hadir di majlis penyerahan surat tawaran mewakili Naib Canselor USM berkata, kejayaan Seaan merupakan satu pencapaian besar bagi universiti dan sektor pendidikan tinggi Malaysia.

WhatsApp Image 2024 07 16 at 20.03.01 1

“Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman kerja antarabangsa tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan industri di peringkat global.

“Ini adalah selaras dengan usaha USM untuk melahirkan graduan HEBAT yang berdaya saing dan mempunyai kemahiran yang relevan dengan keperluan industri dalam bidang aeroangkasa,” tambah Narimah.

Hadir sama di majlis penyerahan adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Bersama MIGHT, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali; Duta Besar Turkiye ke Malaysia, TYT Emir Salim Yuksel; barisan kepimpinan Turkish Aerospace Malaysia dan 10 ahli CMU.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 265

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024