PERKUKUH PENYELIDIKAN BIOTEKNOLOGI INTIPATI MOU USM DAN WONDFO BIOTECH
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Julai 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Guangzhou Wondfo Biotech Co. Ltd., China ke arah memantapkan penyelidikan bersama dalam bidang bioteknologi, di sini hari ini.
Kerjasama tersebut dilihat dapat mewujudkan serta memperluaskan lagi peluang dalam bidang penyelidikan dan latihan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam usaha meningkatkan kemajuan bidang bioteknologi ke peringkat lebih jauh.
Majlis penandatanganan MoU tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang mewakili Naib Canselor USM dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman bagi pihak USM, manakala Guangzhou Wondfo Biotech Co., Ltd. diwakili Naib Presiden, Wenjie Xu dan Pengarah Pemasaran Antarabangsa, Guanze Ding.
Shaiful dalam ucapannya berkata, beliau amat berbangga dengan kerjasama itu dan mengharapkan USM akan terus berkembang maju dalam bidang penyelidikan bioteknologi.
“Kerjasama ini dapat mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan China untuk menyumbang lebih banyak lagi penyelidikan dalam bidang ini ke arah teknologi yang lebih maju.
“MoU ini juga bukti komitmen bersama antara USM dan Wondfo untuk merapatkan jurang antara akademik dan industri selain memupuk ekosistem kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Kami menyedari bahawa kuasa transformasi pendidikan hanya boleh direalisasikan sepenuhnya apabila ia sejajar dengan keperluan dan permintaan industri.
“Oleh itu, kerjasama ini juga bertujuan mewujudkan peralihan yang lancar untuk para graduan ke dunia profesional, melengkapkan mereka dengan kemahiran, pengetahuan dan minda yang diperlukan untuk berkembang maju dalam kerjaya mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Wenjie Xu pula berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama berkenaan yang dapat mengukuhkan hubungan dua hala antara Wondfo dan USM yang merupakan antara universiti terbaik dalam bidang perubatan dan penyelidikan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan-timbalan Dekan PPSP USM, Ketua Jabatan, Jabatan Anestesiologi PPSP USM, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Nazaruddin Wan Hassan; Ketua Jabatan, Jabatan Patologi Kimia PPSP USM, Dr. Aniza Mat Jelani@ Mohammed Jelani serta Koordinator MoU antara USM dan Guangzhou Wondfo Biotech Co. Ltd., Profesor Madya Dr. Mohd Zulfakar Mazlan dan Dr. Wan Norlina Wan Azman.
Teks: Rosalwani Che Soh@ Yosoff/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 229