USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PPDK USM TERIMA RM2.4 JUTA PERKASA OKU DAN FASILITI OKU UA

USM PULAU PINANG, 15 Julai 2024 – Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menerima sejumlah peruntukan untuk pemerkasaan Orang Kelainan Upaya (OKU) di bawah Inisiatif Belanjawan Tahun 2024 bagi Program Pemulihan Dalam Komuniti dan Fasiliti OKU di Universiti Awam.

WhatsApp Image 2024 07 15 at 16.31.58

Tajaan peruntukan adalah daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2,435,000 yang mana pecahan peruntukan adalah sebanyak RM1,220,000 kepada PPDK USM Kampus Induk manakala sebanyak RM1,215,000 kepada PPDK USM Kampus Kesihatan.

Menurut Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran, projek ini akan memberi manfaat kepada hampir 100 orang kanak-kanak dan belia istimewa termasuk komuniti warga USM.

“Saya sangat berbangga dan mendoakan kejayaan berterusan dalam setiap usaha yang dilakukan oleh PPDK,” kata Azlan.

Azlan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua PPDK USM Kampus Induk, Dr. Syazwani Drani dan Ketua PPDK Kampus Kesihatan USM, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim atas penerimaan peruntukan ini.

“Semoga inisiatif ini mampu melahirkan kumpulan istimewa yang mampu berdikari dan berdiri sama tinggi dalam masyarakat,” katanya lagi.

Menurut perincian peruntukan yang disalurkan itu, sebahagian besar peruntukan PPDK USM Kampus Induk akan digunakan untuk kos penerapan teknologi robotik seperti pembinaan robot atau pembelian dan penyelenggaraan robot; pembangunan modul dengan elemen teknologi; serta pembelian smartboard, tablet dan aplikasi khas.  

Manakala untuk PPDK USM Kampus Kesihatan, peruntukan adalah dikhaskan untuk tujuan penaiktarafan bangunan PPDK di sana, pembaikpulihan infra projek keusahawanan pertanian OKU; pembelian kenderaan utiliti, program-program latihan termasuk latihan pekerjaan OKU Intelek (VT@USM) dan sebagainya.

USM merupakan Universiti Awam (UA) pertama yang memulakan inisiatif menubuhkan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di dalam kampus.

PPDK Kampus Induk USM mula ditubuhkan pada 19 Julai 2019 dan kini mempunyai seramai 56 pelatih dalam pelbagai kategori. Mereka terdiri daripada anak-anak staf dan komuniti setempat.

Selaras dengan aspirasi misi dan visi USM, projek PPDK ini telah memberi impak yang sangat positif kepada staf, komuniti setempat dan universiti sendiri.

Perkembangan dan potensi mereka terus digilap sehingga PPDK USM dijadikan penanda aras oleh 20 UA di Malaysia malah turut menerima kunjungan pakar perubatan hospital dan sekolah-sekolah pendidikan khas bagi melihat proses pemulihan dilakukan kepada pelatih.

Sejak penubuhannya lagi, pihak pengurusan tinggi USM sentiasa komited memberi sokongan kepada program-program yang memperkasa golongan kurang upaya yang dilaksanakan menerusi PPDK ini.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi & Tan Ewe Hoe/Infografik: Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM 

  • Created on .
  • Hits: 194

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024