USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PASUKAN BORIA USM RANGKUL GELARAN JUARA DI FESTIVAL BORIA

USM PULAU PINANG, 14 Julai 2024 – Pasukan Boria Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mengharumkan nama universiti apabila berjaya merangkul gelaran Juara di Festival Boria Kategori Terbuka sempena Festival Kraf Negeri Pulau Pinang anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) Negeri Pulau Pinang, yang berlangsung di SP Arena Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 12 Julai yang lalu.

WhatsApp Image 2024 07 14 at 14.54.17

Kemenangan yang dikecapi telah melayakkan pasukan USM membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM4,000 bersama trofi dengan mengalahkan lima pasukan lain yang turut serta dalam persembahan boria itu, iaitu Institut Pendidikan Guru Pulau Pinang (IPGPP); ASWARA Senior; ASWARA Junior; Universiti Malaya (UM); dan Sekolah Menengah Datuk Haji Md. Noor Ahmad.

Menurut Pengarah Dewan Budaya USM merangkap Pengurus Pasukan, Ramnah Ramli, kemenangan ini merupakan usaha gigih ahli-ahli pasukan yang bersama-sama bertungkus lumus dalam menjayakan persembahan boria ini.

“Saya amat gembira dan berbesar hati dengan kemenangan ini, yang mana kemenangan ini merupakan kemenangan yang tidak disangka.

“Pertahan dan perjuangkan seni warisan ini sampai bila-bila,” ujarnya lagi.

Persembahan boria itu telah disertai oleh para staf USM dari beberapa Pusat Tanggungjawab lain bersama staf Dewan Budaya USM.

Watak utama dalam sketsa persembahan boria telah dimainkan oleh Shahnizam Ab Rahim dari Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM sebagai Hamid dan Jumizah Samsudin dari Pusat Islam USM sebagai Achi Nojan.

WhatsApp Image 2024 07 14 at 14.54.17 2

Sketsa dalam persembahan boria tersebut mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang sedang merancang untuk pergi melancong, akan tetapi perbincangan mereka belum mencapai kata sepakat sehingga perbincangan mereka disertai jiran mereka iaitu Mamu.

Festival yang telah berlangsung itu juga menampilkan persembahan kebudayaan asli seni boria dengan menghimpunkan bakat-bakat berpengalaman dari pelbagai latar belakang etnik, selain bertujuan untuk mengangkat kesenian Boria sebagai ciri identiti budaya Pulau Pinang.

Persembahan boria Pasukan USM telah dikoreografikan oleh Norazizah Rusli dan Ahmad Assahirin Hamlet; ciptaan lagu oleh Shahril Effendi Shahardin; gubahan dan susunan muzik oleh Norhafiz Ismail.

Pihak USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Boria USM atas kejayaan yang diperoleh.

Semoga kejayaan seperti ini akan terus mengharumkan nama universiti di masa akan datang dalam usaha memartabatkan seni budaya warisan boria terutamanya di negeri Pulau Pinang.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 173

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024