USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN PPDK TELUK BAHANG PINDAH ILMU PENANAMAN HERBA KEPADA MURID PRA-SEKOLAH

SESI PENERANGAN SEMAI BENIH

PULAU PINANG, 8 Julai 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) dengan kerjasama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang telah menganjurkan satu program pemindahan ilmu dan kemahiran penanaman herba kepada 25 murid pra-sekolah Tabika Kemas Dewan Belia Teluk Bahang dan Warisan Bestari Kindergarten.

PELATIH EPC BAJU MERAH DAN DR NORHANISHAH

Program yang diadakan pada 21 Jun 2024 yang lalu itu adalah bagi menilai kebolehan pelatih OKU yang terlibat di bawah Projek BJIM USM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang.

“Program perkongsian ilmu pertanian ini dimulakan dengan slot pengenalan oleh Pelatih Elaun Pekerja Cacat (EPC), PPDK kepada murid pra-sekolah berkaitan jenis-jenis pokok herba yang ditanam di Nursery PPDKTeluk Bahang dan mereka juga didedahkan tentang kegunaan setiap pokok herba dan kebaikannya sebagai makanan dan kesihatan,” kata Ketua Projek, Dr. Norhanishah Mohamad Yunus yang juga pensyarah PPPJJ.

PELATIH EPC BERSAMA PELAJAR TADIKA

“Slot kedua pula melibatkan sesi hands-on yang mana setiap murid dibekalkan sebuah pasu dan mereka dilatih untuk menyemai biji benih pokok-pokok herba.

“Aktiviti ini memberi peluang kepada murid untuk merasai pengalaman sebagai seorang pekebun dan kemudiannya mereka diberi bimbingan cara pemeliharaan dan pemuliharaan pokok herba yang ditanam agar kekal lama,” tambah Norhanishah.

“Aktiviti semaian biji benih pokok-pokok herba ini bukan sahaja dapat mengembangkan kemahiran kendiri mereka malah dapat mengembangkan potensi diri dan keyakinan golongan OKU dalam menguruskan sebuah program khidmat komuniti,” tambahnya lagi.

AKTIVITI MENYEMAI BENIH TASKA   SESI TAKLIMAT OLEH PELATIH EPC
     
SESI DEMO OLEH PELATIH   PELAJAR EPC BERSAMA TADIKA

Menurut beliau juga, aktiviti ini berupaya memupuk minat dalam bidang pertanian di peringkat cilik lagi seperti yang dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, dan Perancis.

“Saya inigin merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli jawatankuasa program termasuk pihak taska, tabika, ibu bapa peserta dan para petugas PPDK yang telah menjayakan program pertanian ini.

SELESAI SEMAI BENIH OLEH MURID PRA SEKOLAH

“Program pertanian seperti ini harus diteruskan bagi memberi pengiktirafan kepada kebolehan OKU di samping memupuk minat kanak-kanak dalam bidang pertanian memandangkan pertanian berpotensi menjadi satu bidang perniagaan,” katanya lagi.

Teks & Foto: Dr. Norhanishah Mohamad Yunus, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM

  • Created on .
  • Hits: 152

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024