ADIKARMA USM HARUMKAN NAMA NEGARA DI PENTAS ASEAN MELALUI SENI KEBUDAYAAN
USM PULAU PINANG, 11 Julai 2024 – Kumpulan Kesenian Adikarma Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mengharumkan nama negara di pentas ASEAN dengan menyertai program 19th ASEAN & ASEAN+3 Youth Cultural Forum di Brunei Darussalam.
Forum yang berlangsung pada 23 hingga 28 Jun lalu telah diadakan di Universiti Brunei Darussalam dengan tema “Futuring Together Towards Preserving Art and Culture”.
Hadir di majlis perasmian forum adalah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan Brunei Darulssalam, Yang Mulia Dr. Haji Azman Ahmad.
Sebanyak 27 buah universiti dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura, Kemboja, Filipina, China, Korea dan Jepun telah menyertai forum ini, yang turut disertai beberapa universiti dari Malaysia seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain USM.
Peserta dari USM yang menyertai forum tersebut adalah:
1. Muhammad Alief Iqmal Abdul Hadi (Pelajar Tahun 4, Pusat Pengajian Pengurusan);
2. Nur Afrina Iqrisha Azhar (Pelajar Tahun 4, Pusat Pengajian Sains Kajihayat);
3. Joel Russel Jasni (Pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Sains Komputer) dan
4. Sherrin Natasha Ahmad Basir (Pelajar Tahun 2, Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan).
Turut serta adalah Penolong Pegawai Kebudayaan, Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM merangkap pegawai pengiring delegasi USM, Ahmad Assahirin Hamlet.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan, di antaranya adalah persembahan kebudayaan, forum seni dan budaya, lawatan budaya, pameran reruai antara negara dan bengkel kebudayaan Brunei Darussalam.
Dalam program yang sama, delegasi Malaysia iaitu gabungan USM, UKM, UPM dan UUM turut membuat persembahan dengan menampilkan gabungan persembahan kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia dan telah dianugerahkan ‘Persembahan Terbaik’ dan ‘Reruai Terbaik’.
Pihak USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan yang diperolehi.
Semoga penglibatan dan gabungan bersama ini dapat memantapkan lagi hubungan antara universiti dalam menyertai dan menjayakan program-program kebudayaan di masa akan datang.
Teks Asal: Ahmad Assahirin Hamlet (Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM)/Olahan: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Facebook BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 255