USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUMPULAN PERINTIS LATIHAN TOEIC UNTUK INDUSTRI RAIH SIJIL, LULUS CEMERLANG SETANDING PIAWAIAN EROPAH

PULAU PINANG, 11 Julai 2024 – Sekumpulan 24 peserta perintis program "Test of English for International Communication" (TOEIC) untuk industri berjaya menamatkan latihan mereka, dengan 12 daripadanya cemerlang mencapai skor melebihi 800 mata dan setanding dengan piawaian Eropah.

WhatsApp Image 2024 06 25 at 14.42.58 1

USAINS Holding dan Universiti Sains Malaysia (USM) selaku penyelaras bagi program TOEIC meraikan kejayaan bersejarah khususnya untuk industri di Wilayah Utara itu dalam satu majlis khas yang menyaksikan kesemua 24 staf Boston Scientific Pulau Pinang menerima sijil masing-masing.

Program TOEIC yang terkenal dengan latihan bahasa Inggeris yang berfokus kepada industri ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi di tempat kerja, selain menambah kecekapan dan kualiti perkhidmatan peserta.

Untuk rekod, USM adalah salah satu pusat ujian eksklusif di wilayah utara dan universiti awam pertama di Malaysia yang diiktiraf sebagai pusat ujian bagi produk Educational Testing Service (ETS) sejak 2022.

WhatsApp Image 2024 06 25 at 14.42.56 2

Para peserta menjalani latihan penuh termasuk 24 jam pengajaran bersemuka dan 6 jam secara dalam talian. Peserta mencapai skor purata 750 mata, melebihi purata kebangsaan Malaysia iaitu 647 mata seperti yang dilaporkan dalam Laporan Dunia TOEIC 2023 oleh ETS.

Sejumlah 12 daripada mereka yang mewakili 50% daripada kumpulan tersebut mencapai skor yang sangat baik melebihi 800 mata, setanding dengan piawaian Eropah.

Hadir di majlis penyampaian sijil ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang menekankan bahawa USM sentiasa berusaha meningkatkan kerjasama Universiti – Industri dan memuji inisiatif yang dipelopori oleh USAINS itu.

WhatsApp Image 2024 06 25 at 14.42.57 2

“Inisiatif ini adalah satu pencapaian yang baik ke arah meningkatkan kemahiran generik staf sebagai komponen nilai tambah kepada kemahiran khusus yang mungkin sudah dimiliki semasa bekerja di organisasi terkenal seperti Boston Scientific,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat USAINS, Farid Wajidi Mat Yusoff pula menzahirkan penghargaan kepada ahli pasukan TOEFL/TOEIC USAINS atas strategi berpandangan jauh bekerjasama dengan pemain industri dalam merangka dan mereka bentuk program kemahiran generik seperti TOEIC.

“Program sebegini berupaya untuk meningkatkan elemen kemahiran insaniah staf dalam menavigasi tindakan di tempat kerja dan seterusnya memudahkan produktiviti serta kecekapan dalam melaksanakan tugas masing-masing,” ujarnya.

WhatsApp Image 2024 06 25 at 14.42.57 1

Beliau turut berpandangan kerjasama itu adalah satu permulaan yang baik untuk kerjasama yang lebih dinamik pada masa hadapan.

Pengarah Pengeluaran Boston Scientific di Pulau Pinang, Ooi Cheong Yew pula berkata syarikat percaya dalam memupuk persekitaran yang menyokong serta menggalakkan pekerja untuk belajar dan meningkatkan diri.

WhatsApp Image 2024 06 25 at 14.42.54

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada penyedia perkhidmatan yang telah menggemblengkan tenaga dan masa mereka dalam menjayakan program ini dengan baik.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 149

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024