USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIGA PAKAR USM DILANTIK FELO BAHARU AKADEMI SAINS MALAYSIA 2024

WhatsApp Image 2024 07 11 at 1.13.46 AM

USM PULAU PINANG, 1 Julai 2024 – Tiga pakar bidang Universiti Sains Malaysia (USM) telah dilantik sebagai Felo baharu Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi tahun 2024 baru-baru ini.

Pakar yang dilantik ialah Profesor Dr. Habibah A Wahab (bidang Sains Kimia); Profesor Dr. Hazizan Md Akil dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (bidang Sains Kejuruteraan) dan Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (bidang Sains Kejuruteraan).

Mereka bertiga adalah antara 31 Felo baharu ASM yang dilantik sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-29 akademi itu pada 22 Jun 2024 yang lalu.

Dengn pelantikan tersebut, sekaligus melayakkan individu berkenaan menggunakan gelaran “Fellow of the Academy of Sciences Malaysia” atau singkatan “FASc” selepas nama mereka.

Ini merupakan pengiktirafan sains tertinggi negara melalui Akta Akademi Sains Malaysia 1994.

Habibah yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, melahirkan rasa penuh kesyukuran atas pencapaian berprestij ini.

Beliau turut menyifatkan pengiktirafan ASM amat bermakna kepada USM hasil sumbangan kepakaran masing-masing dalam kecemerlangan bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) pada peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Dengan pelantikan terkini 31 Felo itu, jumlah Felo ASM mencecah 509 orang.

ASM ditubuhkan oleh kerajaan pada tahun 1995 dengan matlamat utama untuk menggalak dan meningkatkan kecemerlangan bidang sains, kejuruteraan dan teknologi untuk kemajuan negara dan faedah masyarakat sejagat.

Felo ASM terdiri daripada saintis, jurutera, ahli teknologi dan ahli sains sosial yang berkaliber yang membuat sumbangan bermakna dalam lapan (8) kumpulan disiplin iaitu 1. Teknologi Maklumat & Sains Komputer; 2. Sains Biologi, Pertanian & Alam Sekitar; 3. Sains Kejuruteraan; 4. Pembangunan Sains & Teknologi dan Industri; 5. Sains Perubatan & Kesihatan; 6. Matematik, Fizik & Sains Bumi; 7. Sains Kimia; serta 8. Sains Sosial & Kemanusiaan.

Naib Canselor dan pihak pengurusan tinggi serta seluruh warga USM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua penerima pengiktirafan ini.

Teks: Tan Ewe Hoe/Infografik: Mohamad Zaidi Jaini

  • Created on .
  • Hits: 146

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024