USM NAIB JOHAN FESWA 2024
USM PULAU PINANG, 10 Julai 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah muncul sebagai Naib Johan dalam Festival Warisan Pantai Timur (FESWA) 2024 yang bukan sahaja meraikan keindahan dan keunikan Pantai Timur, tetapi juga meraikan warisan budaya seni Dikir Barat.
Johan pertandingan ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), manakala tempat ketiga telah jatuh ke tangan Universiti Malaya (UM).
Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, program yang diadakan buat julung kalinya itu merupakan anjuran gabungan tiga persatuan anak negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, mewakili Naib Canselor USM.
Menurut Shaharum, sebagai seorang yang cintakan budaya seni, beliau amat bangga melihat program ini telah memberi peluang kepada komuniti untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan, serta untuk menimba inspirasi dari setiap penampilan dan pertunjukan.
“Saya berharap agar festival ini terus menjadi titik sentuhan untuk mengeratkan perpaduan dan memartabatkan warisan kita bersama-sama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program FESWA 2024, Muhammad Amiruddin Abdul Manaf dalam ucapannya berkata, harapannya ialah festival seperti ini dapat dijadikan sebagai acara yang dinantikan dan diperjuangkan bersama oleh seluruh komuniti Pantai Timur Malaysia.
“Saya juga berharap agar festival ini tidak hanya menjadi acara untuk meraikan kebudayaan, tetapi juga sebagai platform yang membina jaringan dan kerjasama yang erat di antara komuniti akademik, seniman, dan masyarakat amnya,” ujarnya lagi.
Pihak USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada peserta-peserta yang berjaya merangkul gelaran Johan, Naib Johan dan tempat Ketiga dalam pertandingan ini mewakili Universiti masing-masing dan juga semua peserta yang bertanding dalam FESWA 2024 ini.
Hadir sama adalah Pegawai Operasi dan Pemasaran HEPA USM merangkap Penasihat 1 Himpunan Anak-Anak Kelantan USM, Zulkifli Che Hussin; wakil Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Roshasliza Sulaiman; dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 222