AHLI-AHLI PSSCMUSM DIRAIKAN DI MAJLIS MALAM SANTAPAN SECANGKIR KASIH SANJUNGAN BUDI
USM PULAU PINANG, 29 Jun 2024 – Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Sains Malaysia (PSSCMUSM) baru-baru ini telah menganjurkan Majlis Malam Santapan Secangkir Kasih Sanjungan Budi Sidang Akademik 2023/2024 bagi meneruskan tradisi penganjuran aktiviti tahunannya untuk meraikan semua pengamal seni silat cekak termasuk tenaga pengajar dan pelajar yang menjadi ahli kepada persatuan ini.
Bertemakan ‘Busana Tradisional’, Majlis Malam Santapan yang diadakan di sebuah hotel di Georgetown, Pulau Pinang pada 23 Jun yang lalu dihadiri seramai 101 orang tetamu termasuk ahli-ahli dari PSSCMUSM Kampus Induk, PSSCMUSM Kampus Kejuruteraan dan Kelas-kelas Latihan PSSCM Cawangan Pulau Pinang.
Hadir merasmikan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.
Shaharum berkata, seperti seni mempertahankan diri yang lain, silat cekak juga sedang melalui proses transisi yang memerlukan pengamal-pengamal menyesuaikan diri mereka dengan perubahan yang berlaku.
“Namun apa yang penting ialah ia perlu dimartabatkan kembali demi memelihara identiti masyarakat Melayu seperti melalui pakaian dan busana yang diketengahkan sebagai tema Malam Santapan kali ini.
“Selain itu, penglibatan pelajar dalam seni silat cekak turut berperanan membentuk jati diri pengamalnya dan membangunkan modal insan yang berketrampilan dalam pelbagai aspek,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, “Anggapan setengah pihak bahawa seni bela diri itu ganas, untuk bergaduh dan tidak relevan dalam dunia semasa, ternyata tidak benar malah, seni tradisi itu turut merintis usaha dalam melahirkan modal insan berjasa dan berperanan membentuk warga yang berjiwa bangsa khususnya dalam kalangan anak muda.”
“Selaras dengan elemen HEBAT iaitu Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, dan Thinking yang ingin dibangunkan di dalam diri mahasiswa USM, penganjuran Malam Santapan Secangkir Kasih Sanjungan Budi ini bukan hanya sekadar untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli-ahli persatuan, malah ianya dapat mengasah bakat kepimpinan terutamanya dalam kalangan ahli jawatankuasa penganjur.
“Saya pasti ahli jawatankuasa penganjur dapat mempelajari pelbagai kemahiran baru seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran keusahawanan dan lain-lain yang dapat memberi nilai tambah kepada mereka khasnya dan kepada mahasiswa USM secara amnya,” tambah Shaharum.
Program dimeriahkan dengan pelbagai persembahan istimewa oleh pelajar Level 100, Level 200 dan Level 300, antaranya adalah persembahan berbalas pantun, sketsa bertemakan rasuah dan persembahan tarian tradisional.
Majlis diserikan dengan pengisian kemuncak iaitu penyampaian Anugerah Dekan Cekak kepada pelajar cemerlang PSSCMUSM setiap peringkat dan upacara penyampaian penghargaan Anugerah Khas Tenaga Pengajar yang dianugerahkan kepada Norasimah Mohd Nor atas segala sumbangan, budi dan jasa bakti serta bimbingan beliau sepanjang berkhidmat sebagai tenaga pengajar.
Hadir bersama ialah Naib Presiden 1 PSSCM & Yang Dipertua PSSCM Cawangan Pulau Pinang, Ar. Dr. Haji Ab Majid Ismail; Pengerusi Rancangan Kebudayaan, Pusat Rancangan Ko-K USM, Dr. Siti Zuraidah Md Osman; Penasihat 1 PSSCMUSM merangkap Ketua Penyelaras Ko-K Kebudayaan Seni Silat Cekak Malaysia USM, Prof. Madya. Ts. Dr. Abdul Hafiz Ab Majid; Pengarah Projek, Muhammad Amirul Akmal Mohd Noor; Yang Dipertua PSSCMUSM, Muhammad Adib Md Noor; serta tenaga pengajar PSSCM dan barisan penyelia kelas-kelas latihan cawangan Pulau Pinang.
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) yang ditubuhkan pada tahun 1965, kini memiliki lebih 80,000 ahli di seluruh Malaysia dan membuka 104 Pusat/Kelas Latihan termasuk di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Sumber: Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, USM/Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Nirmaryadi Rashid, Unit Media & Penerbitan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM
- Created on .
- Hits: 181