ERATKAN KERJASAMA IPT TEMPATAN DAN PEMAIN INDUSTRI E&E DEMI PERKEMBANGAN SEKTOR SEMIKONDUKTOR NEGARA, SERU ZAMBRY
BAYAN BARU, PULAU PINANG, 28 Jun 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) buat julung kalinya mengadakan Sesi Dialog Industri E&E secara eksklusif bersama YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi di Hotel Amari, Pulau Pinang.
Program berimpak yang dianjurkan khas bagi perbincangan dua hala mengenai keperluan sektor E&E (Elektrik dan Elektronik) termasuk dari aspek penawaran tenaga kerja dan tawaran pekerjaan itu telah menarik lebih 40 rakan/peneraju/pemain industri, dekan-dekan E&E dan ICT universiti Malaysia serta pelajar yang terlibat dalam Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri (MRI3) KPT USM.
Diskusi strategik berkenaan juga menjadi peristiwa penting buat semua yang terlibat dalam merapatkan jurang antara IPT dengan industri E&E, serta menyumbang kepada usaha negara untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi.
Dalam ucapannya, Zambry menyeru institusi-institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan untuk terus mengeratkan kerjasama dan hubungan yang dinamik dengan para pemain industri E&E multinasional yang beroperasi di Malaysia.
“Dialog hari ini adalah satu pencapaian penting yang menekankan komitmen KPT dalam menyediakan bakat masa depan negara dengan pengetahuan dan kemahiran termaju yang diperlukan untuk menyokong teknologi yang berubah dengan pesat dalam industri E&E,” katanya.
Jelasnya lagi, hal ini penting untuk menjadikan negara sebagai pusat perkembangan sektor semikonduktor termaju bukan sahaja di rantau ini, malah di peringkat global.
Menurutnya, KPT turut merangka pelbagai usaha melibatkan penawaran yang fleksibel bagi menarik minat pelajar dalam apa jua jurusan untuk melanjutkan pengajian di bidang E&E yang ditawarkan di universiti-universiti awam (UA), politeknik serta kolej komuniti.
“Langkah ini juga dapat membuktikan peranan penting IPT terutamanya di koridor Utara, sebagai penyedia bakat yang memiliki kepakaran dan kemahiran untuk memacu sektor semikonduktor negara.”
Terdahulu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapan alu-aluannya, menyambut baik kehadiran YB Menteri Pendidikan Tinggi dan delegasi KPT & JPT yang turun padang untuk mendengar sendiri pandangan dan input serta maklum balas daripada pihak IPT dan rakan kongsi/pemain industri untuk menjadikan industri E&E lebih berdaya saing dan mampan.
“Dalam mengetuai Konsortium E&E UA yang terdiri daripada 19 UA bagi pelaksanaan program Inkubator Penyelidikan dan Serap-Industri KPT atau MRI3, USM terus komited untuk menghasilkan bakat-bakat yang memenuhi keperluan industri.
“Pelaksanaan MRI3 tersebut bertujuan untuk membangunkan bakat yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran bertepatan keperluan industri E&E melibatkan pelajar ijazah pertama hingga pasca-siswazah serta membantu memastikan jaminan kerja dalam kebolehpasaran graduan tempatan dengan gaji premium (gaji permulaan minimum RM4,000),” jelasnya.
Tambah Abdul Rahman, sehingga kini terdapat lebih 900 pelajar dari seluruh negara yang telah berdaftar untuk program tersebut dalam portal MRI3 yang dilancarkan pada awal bulan Mei 2024.
“Selain itu, terdapat hampir 500 jawatan kosong yang ditawarkan oleh 30 syarikat industri yang terlibat secara langsung dalam program MRI3 tersebut,” katanya lagi.
Dalam majlis yang sama, Zambry turut menyaksikan penyerahan replika cek daripada rakan-rakan industri kepada USM, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjumlah lebih RM5 juta untuk menzahirkan kerjasama strategik antara industri dan IPT dalam membangunkan bakat masa depan.
Sebagai rekod, bagi USM, penyerahan replika cek melibatkan yang berikut:
Intel Microelectronics (M) Sdn. Bhd.
- Intel Advanced Packaging Research Grant 2024 – RM876,900
- AI-Enabled PC Donation and Curriculum Training – RM250,000
Oppstar Technology Sdn. Bhd.
- Donation Fund on EDA Tools Infrastructure for IC Design Research and Incubation Program – RM1,080,000
Hadir sama menyertai sesi dialog ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ahli Parlimen Bayan Baru, YB Sim Tze Tzin; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib-naib Canselor UUM, UniMAP, UTeM, UMPSA; pegawai-pegawai kanan KPT dan JPT serta wakil-wakil rakan industri.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 257