USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERSATUAN PELAJAR SIKH KONGSI ILMU PERKENALKAN AKSARA BAHASA PUNJABI BAHARU DALAM WIKIKAMUS BAHASA MELAYU

sikh6

USM PULAU PINANG, 25 Jun 2024 – Dalam usaha memperkenalkan bahasa Punjabi kepada segenap lapisan masyarakat secara lebih terbuka, sebuah bengkel WikiKata Bahasa Punjabi telah diadakan di kampus induk USM anjuran Persatuan Pelajar Sikh USM dengan kerjasama Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia (Wikimedia Malaysia) pada 22 Jun 2024 yang lalu.

WikiKata Bahasa Punjabi merupakan salah satu siri WikiKata yang dianjurkan Wikimedia Malaysia, berikutan kejayaan beberapa bahasa komuniti dan etnik yang lain seperti Mendriq, Kensiu, Jawa dan Hokkien.

WhatsApp Image 2024 07 08 at 10.57.52 AM

Sesi bengkel mendapat sambutan 19 orang peserta yang terdiri daripada pelajar pelbagai kaum dan dikendalikan oleh Farouk Azim, ketua pelatih dari Wikimedia Malaysia yang memfokuskan teknik untuk memasukkan perkataan bahasa Punjabi ke dalam kamus dalam talian (kamus digital) Wikikamus, di bawah kelolaan Wikimedia.

Menurut Pengarah Projek, Diniswindar Singh a/l Ravinder Singh, menerusi bengkel ini, sebanyak 531 entri baharu bahasa Punjabi telah dimasukkan ke dalam Wikikamus bahasa Melayu dalam tiga jenis aksara, iaitu Gurmukhi, Shahmukhi, dan Rumi.

“Antara entri yang kini boleh dijumpai di Wikikamus bahasa Melayu ialah ਤਰਨਾ (ejaan Gurmukhi), ترنا (ejaan Shahmukhi), dan tarnā (ejaan Rumi), yang bermaksud “berenang,” katanya.

WhatsApp Image 2024 07 08 at 10.57.52 AM 1

Turut hadir ialah Yang Dipertua Persatuan Pelajar Sikh USM, Harpreet Kaur a/p Pretam Singh.

Wikimedia Malaysia ialah sebuah organisasi bukan keuntungan (NPO) yang diiktiraf oleh Yayasan Wikimedia sebagai badan sukarelawan rasmi di Malaysia.

Wikimedia Malaysia bertindak sebagai penggerak kepada kegiatan-kegiatan berkaitan Wikipedia dan projek Wikimedia lain di Malaysia.

Kumpulan ini menawarkan pelbagai program seperti projek, acara, dan latihan asas dalam penyuntingan di Wikipedia dan platform Wikimedia lain.

Wikimedia Malaysia berpegang kepada visi dan misinya untuk berkongsi pengetahuan kepada segenap lapisan masyarakat secara lebih terbuka terutamanya para Wikimediawan.

Teks & foto: Persatuan Pelajar Sikh USM/Suntingan: Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

  • Created on .
  • Hits: 215

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024