USM TERUS KUKUHKAN PENGLIBATAN MAHASISWA/I MELALUI KOKURIKULUM BADAN BERUNIFORM
USM PULAU PINANG, 6 Julai 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Rancangan Kokurikulum USM terus memantapkan penglibatan mahasiswanya dalam bidang kokurikulum badan beruniform melalui Majlis Perbarisan Pembukaan Latihan Badan Beruniform USM bagi Sidang Akademik 2023/2024.
Berlangsung di Padang Kawad USM, program tersebut merupakan sebuah acara tahunan badan beruniform USM dalam mempamerkan kehebatan dan kecemerlangan para pelajar badan beruniform sebagai satu pasukan berdisiplin dan bersatu padu.
Dengan tema 'Aktif Kokurikulum Mahasiswa Kompeten', program yang dianjurkan ini bertujuan untuk mengukuhkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti luar daripada kurikulum untuk memperkasa kemahiran insaniah mereka melalui penglibatan dalam badan beruniform.
Hadir bagi merasmikan majlis adalah Naib Canselor USM, Kolonel Kehormat Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, beliau yakin penglibatan mahasiswa/I dalam unit badan beruniform juga dapat memangkin semangat mahasiswa/i untuk cemerlang dalam bidang kokurikulum seiring dengan kecemerlangan dalam bidang akademik serta penerapan elemen HEBAT dalam diri para pelajar.
Selain itu, beliau juga yakin penglibatan dalam badan beruniform tentunya meningkatkan kekuatan mental dan fizikal serta mampu menjadikan pelajar sebagai insan yang bersyukur dan berguna kepada masyarakat dan negara.
“Harapan saya agar Program Perbarisan Pembukaan Latihan Badan Beruniform ini dapat diteruskan pada masa akan datang serta mempunyai pelbagai pembaharuan dalam mempamerkan objektif-objektif badan beruniform kepada khalayak ramai,” tambah Abdul Rahman lagi.
Sementara itu, Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Kolonel Bersekutu Pertahanan Awam Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kasim berharap agar program seperti ini dapat membentuk sahsiah pelajar dengan lebih berdisiplin, berkeyakinan dan berintegrasi dalam memangkin momentum kecemerlangan mahasiswa.
Menurut Pengarah Projek Program Perbarisan Pembukaan Latihan Badan Beruniform USM 2024, Ku Nur Wafa Ain Ku Amran, beliau berharap program sebegini dapat meningkatkan usaha para pelajar untuk menimba ilmu, mencari pengalaman dan membina jati diri melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum demi menjadi mahasiswa/i yang berkeupayaan menempa kejayaan demi kejayaan selaras dengan moto universiti, “Kami Memimpin”.
Program tersebut telah disertai oleh kesemua badan beruniform di kampus induk USM, yang mana Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (KOR SUKSIS) ialah tuan rumah bagi sidang ini.
Program turut disertai oleh Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Darat (PALAPES DARAT); Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Laut (PALAPES LAUT); Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA); Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM); dan Kor St. John Ambulance Malaysia (St. John).
Dalam majlis yang sama, diselitkan juga kemeriahan aktiviti-aktiviti menarik seperti pertunjukan perbarisan, persembahan dari setiap badan beruniform serta pameran aset dan jentera dari setiap badan beruniform USM.
Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Penolong Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Kolonel Bersekutu Pertahanan Awam Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; serta Pegawai-pegawai Kehormat dan Penyelaras Badan Beruniform USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 551