PERUNTUKAN RM1.89 JUTA DARI YAYASAN PETRONAS BANTU 1,615 GOLONGAN B40
USM PULAU PINANG, 25 Jun 2024 – Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menerima peruntukan sebanyak RM1,890,000 daripada Yayasan Petronas untuk melaksanakan Program Pembangunan Komuniti Melalui Inovasi dan Teknologi (K.I.T.).
Menurut Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran, program ini akan memberi manfaat kepada 1,615 orang komuniti B40.
“Program K.I.T. berfokus kepada pembangunan komuniti terkebawah melalui kemahiran, inovasi, teknologi baharu, dan pengurusan sokongan.
“Ia bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosial dalam komuniti yang terkebelakang berdasarkan prinsip kesamarataan, memastikan akses sumber daya untuk pertumbuhan individu dan komuniti,” jelasnya.
Pendekatan holistik program ini merangkumi pembangunan ekonomi, pendidikan berkualiti, dan sistem keperluan sosial yang inklusif.
Azlan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang sentiasa menyokong pelaksanaan program pemindahan dan perkongsian ilmu serta inovasi sosial dalam pelaksanaan projek pemerkasaan komuniti yang mencerminkan kesarjanaan universiti.
“Kepimpinan dan sokongan Dato’ Seri Naib Canselor semasa menerajui BJIM sebelum ini telah meletakkan asas kukuh untuk kejayaan BJIM hari ini.
“Saya berharap agar usaha sebegini dapat membawa perubahan positif dan berkekalan dalam kehidupan komuniti B40 dan seterusnya membina masa depan yang lebih cerah untuk semua,” katanya lagi.
Sumber & Infografik: Facebook BJIM USM/Suntingan: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 168