EKSKAVASI BUKIT CHORAS TERUNGKAI; JUMPAAN ARCA BERBENTUK MANUSIA YANG LENGKAP
USM PULAU PINANG, 26 Jun 2024 - Pasukan penyelidik Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah berjaya menemui arca berbentuk manusia yang lengkap di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah.
Penyelidikan arkeologi fasa tiga ini ialah hasil kerjasama bersama Jabatan Warisan Negara (JWN), diketuai oleh Dr. Nasha Rodziadi Khaw yang juga merupakan Pensyarah Kanan PPAG USM, yang telah berlangsung pada 21 April hingga 21 Mei lalu.
Melalui ekskavasi yang sama, para penyelidik juga telah menemui beberapa artifak lain yang signifikan dan penting bagi Malaysia, yang mana penyelidikan arkeologi fasa tiga ini telah mendedahkan struktur binaan pada bahagian dinding utara dan barat, sehingga memperlihatkan dengan jelas struktur utama candi Bukit Choras yang mempunyai seni bina yang unik.
Di samping itu, kajian stratigrafi, pemetaan kontur serta dokumentasi yang lebih teliti telah dijalankan terhadap struktur candi serta blok-blok laterit yang ditemui.
Penemuan penting di tapak adalah sebuah arca Buddha bersaiz manusia yang diperbuat daripada stucco, iaitu sejenis bahan campuran kapur, air dan pasir, ditemui di dinding utara candi tersebut.
Berbeza dengan arca yang ditemui ketika fasa satu dan fasa dua, arca kali ini ditemui lengkap bersama kepalanya, dengan ciri-ciri ikonografi seperti jubah, riak wajah, dan pakaian dapat dilihat dengan jelas, serta sebuah prasasti Sanskrit yang diukir di atas badan batu serta serpihan tembikar tanah.
Hadir di sidang media jumpaan relik tersebut adalah Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman bersama Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Menurut Roslan, Penemuan jumpaan terkini di Tapak Arkeologi Bukit Choras tentunya membuka ruang kepada tafsiran baharu mengenai kedudukan geostrategik Kedah Tua sebagai sebuah kota penting dalam jalur perdagangan maritim Asia Tenggara. Penyelidikan ini juga menegaskan komitmen yang diberikan oleh MOTAC melalui JWN dan USM dalam menghasilkan data-data baharu bagi memperkayakan sejarah dan melestarikan khazanah warisan negara.
“Sebagaimana teras yang digariskan di bawah Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN 2021), iaitu Pemuliharaan Warisan Budaya dan Penjanaan Ekonomi Kebudayaan, JWN bersama PPAG USM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah akan memastikan penemuan ini dijadikan rujukan sejarah dan warisan negara serta dapat dikongsikan kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata PPAG USM akan membantu JWN meningkatkan lagi kualiti penyelidikan dan konservasi secara saintifik, melalui makmal dan peralatan canggih yang terdapat di PPAG.
“Penyelidikan yang lebih saintifik dan menyeluruh semestinya dapat memberikan nilai tambah kepada artifak dan pameran di bawah pengurusan JWN, supaya dapat menambah ilmu pengetahuan yang baharu tentang sejarah dan warisan negara kepada orang ramai.
“Bagi pihak USM, Majlis ini akan memberikan faedah dan impak yang penting dari aspek pendedahan dan penyelidikan arkeologi negara, selari dengan agenda APEX USM dalam memperkasakan kelestarian budaya dan warisan negara,” tambah Abdul Rahman.
Secara keseluruhannya, sehingga penyelidikan fasa tiga, sebanyak tiga buah prasasti telah ditemui di Bukit Choras. Kandungan prasasti tersebut mengandungi mantra sagaramatipariprecha (menceritakan tentang doktrin agama buddha yang berkait rapat dengan kekosongan, sebab musabab dan sifat-sifat yang dimiliki oleh Buddha) sama seperti isi kandungan prasasti yang ditemui pada fasa satu sebelum ini.
Turut hadir dalam sidang media yang sama adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab; Pengarah Perancangan Ekonomi Negeri Kedah mewakili Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Junaidi Abdul Rani@Abdul Ghani; Pengarah PPAG USM, Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon; Pesuruhjaya Warisan JWN, Mohamad Muda Bahadin dan Pengarah MOTAC Negeri Pulau Pinang, Dr. Annuar Mohamed.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 311