USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HUSM LAKSANA KEMPEN BERJIMAT CERMAT

kempen penjimatan 1

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Jun 2015 - Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menjalankan kempen “Penjimatan Memastikan Kelestarian Hari Esok” untuk menggalakkan semua pihak mengamalkan sikap berjimat cermat, menggunakan dan menjaga segala kemudahan asas dan sumber yang ada dengan sebaik mungkin.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kempen Bulan Penjimatan HUSM, Haji Wan Mohd Suyuti Wan Ismail, melalui kempen ini pihaknya berusaha melaksanakan program-program penjimatan kemudahan asas sepanjang masa agar sikap berhemah serta berjimat akan menjadi budaya hidup kampus.

Hj Wan Mohd Suyuti

"Kempen ini merupakan usaha HUSM bagi memupuk kesedaran dan menggalakkan penglibatan warga staf dan semua pihak termasuk seluruh pelanggan berjimat serta menjadi pengguna yang cekap dengan berfokus kepada mendidik dan mendedahkan warga kepada aspek kecekapan dan penjimatan untuk melahirkan pengguna yang bijak dan lestari," jelas Wan Mohd Suyuti.

Tambah Timbalan Pengarah Kanan Pengurusan HUSM itu, sepanjang tahun 2014, bil elektrik mencatatkan penurunan di blok hospital namun, secara keseluruhannya meningkat ekoran pembukaan tiga blok baru iaitu blok pentadbiran, blok trauma & kecemasan serta blok dobi.

kempen penjimatan 2

kempen penjimatan 3

“Bil air pula menunjukkan peningkatan pada tahun 2014 sebanyak 12.71 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2013 kerana kenaikan tarif dari RM1.25/m3 kepada RM1.72/m3 iaitu kira-kira 37 peratus kenaikan bermula pada bulan September 2013 serta disebabkan oleh “test run” bangunan baharu terutama blok dobi yang menggunakan banyak sumber air,” tambahnya lagi.

Wan Mohd Suyuti berkata, bil telefon, kos pengurusan sisa klinikal dan tuntutan kerja lebih masa juga mencatatkan kenaikan bagi tahun 2014 berbanding tahun sebelumnya dengan kos keseluruhan penggunaan utiliti iaitu bil elektrik, bil air dan bil telefon serta faks pada tahun 2014 ialah sebanyak RM11,707,601.

“Pelbagai langkah penjimatan telah dijalankan seperti membuat hebahan informasi, mengedarkan risalah langkah-langkah penjimatan kepada semua ketua jabatan dan unit, mengadakan ceramah penjimatan kemudahan asas dan banyak lagi sebagai usaha mengurangkan kenaikan bil yang ditanggung selama ini dan semua usaha yang dilakukan ini merupakan pendekatan teknikal yang sangat signifikan untuk semua pihak terutamanya di HUSM tuntuk bersama-sama menjayakan kempen ini,” kata Wan Mohd Suyuti.  -  Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 2698

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024